Masa Depan Konsep 'Kerja Dari Rumah' Terletak Di Bahu 35 Orang Pelukis Pelan JKR
Ada beberapa 'cerita' menarik perhatian saya dalam Berita Harian hari ini. Selain isu Dr MAZA yang kontroversi, juga kenyataan Menteri Kerjaraya Datuk Shaziman Abu Mansur tentang perintis program kerja dari rumah yang bakal dimulakan Januari 2010.
Menurut beliau, seramai 35 orang pelukis pelan Jabatan Kerja Raya akan menjadi perintis program berkerja dari rumah untuk kakitangan awam. Program percubaan 3 bulan ini akan bermula tahun depan. Kiranya 35 orang pelukis pelan ini membuktikan 'kebaikan' konsep kerja dari rumah, maka konsep ini akan diteruskan dan dikembangkan kepada jabatan lain.
Beliau juga berpendapat, konsep kerja dari rumah ini adalah baik untuk kakitangan wanita. Telah dibuktikan oleh syarikat-syarikat besar, konsep ini boleh meningkatkan produktiviti.
Saya gembira membaca berita ini. Nampaknya, konsep berkerja di rumah sudah mendapat perhatian pihak kerajaan kita. Sememangnya konsep berkerja dari rumah ini ada banyak kebaikan dan manfaatnya.
Pertama ia boleh menjimatkan masa pekerja. Pekerja tidak perlu meluangkan masa untuk perjalanan ke tempat kerja, yang kerapkali perjalanan itu menganggu emosi dan mood oleh kesesakan jalan raya dan faktor-faktor persekitaran. Juga, para pekerja tidak memerlukan masa untuk menyiapkan diri, menyiapkan makanan untuk anak-anak dan suami di rumah dan lain sebagainya.
Berkerja di rumah memungkinkan pengurangan kesesakan jalan raya, pencemaran udara dan jenayah. Oleh kerana itulah saya mencetuskan istilah 'Safe Office Home Office'. Bukan lagi Small Office dan Home Office, kerana bagi saya, besar kecilnya sesuatu ofis pada zaman internet ini bukan terletak pada fizikalnya, tapi terletak pada siapa pemiliknya. Ada ramai usahawan internet yang memiliki perniagan bernilai ribuan ringgit, tapi pejabat mereka hanyalah sebuah laptop:-)
Pendek kata, memang konsep kerja dari rumah ini adalah baik. Cuma ia boleh saja menjadi tidak baik oleh mereka yang mengamalkannya.
Kita mengharap, 35 pelukis pelan ini akan menggunakan kemudahan berkerja dari rumah ini dengan sebaiknya. Melalui pengurusan diri dan masa yang betul, Insya Allah produktiviti boleh ditingkatkan. Selain ia adalah peluang menjimatkan kos sara hidup terutama kos untuk kenderaan dan makan minum waktu kerja.
Kita amat berharap juga, supaya mereka ini tidak 'terbuai' oleh keenakan dan keseronokan berada di rumah dan tidak perlu ke pejabat atau istilah lainnya, tiada masa pejabat dan hari berkerja. Janganlah kerana seronoknya berada di rumah, sehingga kerja tidak siap atau produktiviti menjadi turun. Kita bimbang, kerajaan yang sudah membuka mata kepada konsep SOHO akan bersikap sebaliknya pula.
Kepada 35 perintis tersebut, mungkin anda perlu melanggan newsletter dan tips dari www.irfankhari.com. Bacalah dan ikutilah panduan bagaimana Dr Irfan mengurus masa, mendisiplinkan diri dan mencapai kejayaan dengan konsep kerja dari rumah.
Dengan kemajuan teknologi, sebenarnya kehidupan sepatutnya menjadi lebih baik. Tinggal lagi bagaimana manusia itu menggunakan teknologi. Di bahu anda terletak masa depan konsep kerja dari rumah untuk kakitangan awam di Malaysia.
Ps: Tertarik juga dengan sebuah tulisan oleh kolumnis di BH dalam akhbar hari ini. Menurut penulis tersebut, kemudahan dan teknologi 'ePerolehan' tidak digunakan oleh banyak jabatan dan agensi kerajaan, menyebabkan terdapat agensi yang membeli dua buah laptop HP dengan harga RM80k. Hmm, memang tidak munasabah tu.. Patutnya teknologi yang sudah ada, diberikan juga peraturan yang diperlukan. Contoh, mewajibkan penggunaan ePerolehan. Bukan apa, wang rakyat tu, tidaklah patut dihabiskan berpuluh ribu hanya untuk dua buah laptop...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan