Sebelum ini, tentu kita biasa mendengar ungkapan berbunyi 'makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan'. Ungkapan tersebut bermaksud, kita memerlukan makanan untuk meneruskan kehidupan, bukannya hidup kita ini untuk makan semata-mata.
Sebenarnya, asas kepada usaha manusia berkerja sejak zaman dahulu kala ialah untuk mendapatkan makanan bagi meneruskan kehidupan. Manusia purba mungkin tidak kisah kepada tempat tinggal kerana 'alam adalah rumah mereka'. Mereka boleh mendiami gua, dalam pokok dan lain sebagainya. Justeru, makanan adalah apa yang perlu mereka usahakan setiap hari.
Dunia menyaksikan perubahan dan kemajuan manusia. Jika sebelumnya, manusia hanya berikhtiar untuk makanan, kemudian manusia sudah pandai berikhtiar untuk kediaman. Zaman berlalu dan berlalu. Manusia bukan sahaja memerlukan kediaman, manusia memerlukan kenderaan, seterusnya kerajaan, seterusnya negeri, membentuk tamadun dan lain sebagainya.
Sehinggalah zaman yang sedang kita depani sekarang. Sesungguhnya, manusia hari ini perjuangan mereka adalah untuk mendapatkan wang. Wang untuk makanan. Wang untuk kediaman. Wang untuk kenderaan. Wang untuk kerajaan dan pemerintahan, dan segala keperluan lain, semuanya mensyaratkan wang.
Ada yang mengatakan wang tidak mampu membeli segalanya. Benarkah? Kata mereka wang tidak dapat membeli kebahagian, kasih sayang dan lain sebagainya yang bersifat emosi dan perasaan. Iyakah? Apakah mereka pernah merasakan betapa peritnya kehidupan sepasang suami isteri yang mempunyai anak yang ramai dengan wang yang sedikit.
Sebenarnya, orang yang berpendapat begitu adalah orang yang memiliki wang tetapi tidak memiliki kebahagian, kasih sayang dan lain sebagainya yang berkaitan perasaan dan emosi. Sebenarnya, jika mereka pandai mensyukuri wang dan kehidupan, Insya Allah kehidupan mereka adalah bahagia, sungguh bahagia.
Jika kita gemar mengumpul kata-kata Rasulullah (SAW) dan kata-kata Saidina Umar Al-Khattab (RA); kita akan mendapati mereka banyak menggesa manusia berniaga dan meraih wang. Sehingga Baginda Rasulullah (SAW) pernah bersabda yang kira-kira bermaksud; "Kefakiran itu menghampiri kekufuran".
Saya merenung diri, saya merenung sekeliling. Nampaknya ramai manusia hari ini berusaha dan berkerja untuk wang. Sehinggakan ada yang mengabaikan makan minum, ada yang mengabaikan rumah, ada yang mengabaikan keluarga, ada yang mengabaikan kesihatan malah ada yang mengabaikan keselamatan dan nyawa.. demi mendapatkan wang.
Mungkin ungkapan "makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan' tidak sesuai lagi pada zaman ini. Mungkin kata-kata Azizi Ali di awal buku 'Jutawan Dari Planet Jupitet' lebih sesuai untuk menggantikan ungkapan tersebut. "Gunakanlah wang untuk hidup" bukan "Menggunakan hidup untuk wang".
Hidup untuk wang tandanya kita telah menjadi hamba kepadanya. Hamba akan mengikut segala kemahuan tuannya... dan kita tahu, bila wang menjadi tuhan kita, segala-galanya mungkin kita gadaikan.
BalasPadam