SKRIP DRAMA: ALHAMDULILLAH...INNALILLAH
Skrip ni saya tulis untuk 'Peraduan Menulis Sastera Kreatif Skrip Drama Pentas 2007' anjuran Dewan bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak. Bagaimanapun skrip ini tidak berjaya saya siapkan untuk dihantar menyertai pertandingan tersebut.
BABAK INTRO I
MUZIK LATAR: Petikan gitar instrumental lagu lagu puisi 'Alhamdulillah, Innalillah' gubahan penulis skrip.
Muzik latar bermula. Perlahan-lahan spotlight diterangkan. Lampu hanya menyoroti watak utama (hero); yang duduk di atas lantai pentas. Hero memegang sebuah gitar, di depannya beberapa helai kertas kosong dan pena juga sebiji gelas minuman.
HERO: Sekejap memetik gitar (hilangkan bunyi petikan gitar daripada didengari audiens). Sekejap dia menulis.
Selepas dua minit, muzik latar fade-out dan lampu beransur-ansur suram hingga padam.
TAMAT BABAK INTRO I.
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------
BABAK INTRO II
MUZIK LATAR: Nur Tasbihat- Nazri Johani feat. Dak Mie.
Muzik latar bermula agak nyaring. Pelahan-lahan lampu menerangi watak HEROIN. HEROIN dalam pakaian telekung, duduk bersimpuh di atas sejadah, memegang biji tasbih, dan di depannya sebuah mushaf Al-Quran (tertutup) di atas rehal. Bersamaan lampu perlahan-lahan terang, muzik latar diperlahankan (masih kedengaran tapi suara monolog HEROIN lebih kuat dari bunyi muzik latar).
Semasa bermonolog HEROIN tunduk melihat sejadah sambil tangannya menghitung biji tasbih. Bertafakur dan bermunajat ke hadrat Allah.
Maha Suci Allah.
Segala Puji Bagi Allah.
Tiada Tuhan Selain Allah.
Allah Maha Besar.
Siapakah yang menjadikan manusia Adam dari segumpal tanah dan menciptakan pasangannya Hawa dari sebilah tulang rusuk Adam yang sebelah kiri, dan dari mereka berdua berkembang biak zuriat keturunan mereka melalui titisan air kotor yang dipanggil nuthfah. Maka jadilah manusia khalifah di bumi Allah zaman berzaman yang membawa bersama perkembangan muzik, nyanyian dan hiburan. Muzik, nyanyian dan hiburan itu naluri manusia. Tidak dapat dipisahkan dari manusia.
Allah, Tuhan Yang Memiliki dan Menguasai Semuanya, segala-galanya.
Maha Suci Allah.
Segala Puji Bagi Allah.
Tiada Tuhan Selain Allah.
Allah Maha Besar.
Siapakah yang menciptakan kata-kata dan bunyi?
Allah.
Siapakah yang mengurniakan bakat dan ilham?
Allah.
Siapakah yang menjadikan hati dan perasaan tersentuh dan terpengaruh oleh kata-kata dan bunyi-bunyian?
Allah.
Allah, Yang Maha Pencipta.
Allah, Yang Mengajar manusia dan makhluk-Nya berbicara.
Allah, Yang Menciptakan bunyi dan memberikan suara kepada manusia dan mahkluk ciptaan-Nya yang dikehendaki-Nya.
Maha Suci Allah.
Segala Puji Bagi Allah.
Tiada Tuhan Selain Allah.
Allah Maha Besar.
Bukankah Allah membekalkan menusia dengan pelbagai perasaan?
Ada suka duka, ada marah gelisah, ada rindu harapan, ada kasih sayang cinta, ada takut hampa kecewa, ada kagum bangga, ada semangat kemahuan, dan ada sunyi kosong dan bosan.
Bukankah perasaan itu semua mudah dipengaruh dan dibawa oleh kata-kata dan bunyi-bunyian?
Bukankah muzik itu ialah kata-kata dan bunyi-bunyian?
Bukankah muzik itu mampu menyiram hati dengan ketenangan?
Bukankah muzik itu mampu membangkitkan pelbagai perasaan?
Bukankah muzik itu mampu mempengaruhi akal dan perasaan?
Bukankah muzik itu mampu membuat anggota bergerak bertindak?
Bukankah kita sepatutnya ingat, selalu ingat bahawa
muzik dan lagu itu berasal daripada kata-kata dan bunyi-bunyian.
Bukankah kita sepatutnya ingat, selalu ingat bahawa
Allah, Yang Menciptakan bunyi dan memberikan suara kepada manusia dan mahkluk ciptaan-Nya yang dikehendaki-Nya.
Bukankah kita sepatutnya ingat, selalu ingat bahawa
Allah, Yang Mengajar manusia dan makhluk-Nya berbicara.
Bukankah kita sepatutnya ingat, selalu ingat bahawa
Allah, Yang Maha Pencipta.
Bukankah muzik dan lagu itu dari Allah
dan sepatutnya membawa kita kepada melakukan suruhan Allah
dan sepatutnya membawa kita kepada menjauhi serta meninggalkan larangan Allah.
Bersujud mukaku kepada Yang Menciptakannya dan Membentuknya serta membukakan bagiku pendengaran dan penglihatan dengan daya upaya dan kekuasaanNya. Maha Berkat Allah, Dialah sebaik-baik Pencipta di kalangan segala yang menciptakan.
Ramai bertelagah dan bercanggah pendapat tentang hukum hakam berkenaan muzik dan hiburan. Dalam drama ini saya bercadang hendak mengangkat tema dan persoalan berkaitan muzik, hiburan dan kesenian Islam. Saya sendiri penggemar dan peminat muzik dan hiburan.
Sekiranya muzik dan hiburan itu boleh merosakkan dan melalaikan, kenapa tidak muzik dan hiburan juga boleh memperbaiki, menginsafkan, mendidik dan mendakwah? Pasti boleh, Insya Allah. Ramai golongan pendakwah yang sudah membuktikannya. Salah seorang mereka ialah Sunan Bonang melalui lagu puisi Tombo Ati beliau. (Saya ada menulis tentang Tombo Ati, Klik Sini untuk membacanya)
... seindah perhiasan adalah wanita solehah..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan