06/11/2009

Mensyukuri Ilahi dan Menghargai Diri


Hari yang saya sangat sukai datang lagi. Hari Jumaat kali ini merupakan sebuah hari yang cerah. Dalam perjalanan ke  masjid tengah hari tadi, terasa sangat 'kenyamanan' hari Jumaat ini. Langit membiru, dengan sedikit tompok-tompok awan yang putih dan gebu, Subhanallah. Angin  bertiup agak kuat dan rasanya, nyaman dan santai sekali. Syukur kepada Allah yang menemukan saya sekali lagi dengan hari Jumaat, hari yang penuh berkat dan hari yang merupakan hari paling ramai jumlah hamba-Nya yang bersujud.

Syukur, hari ini juga genap sebulan selepas saya memulakan blog ini pada 5 Oktober 2009 yang lalu. Syukur kepada Allah yang memberikan saya idea dan kemampuan untuk menulis satu artikel setiap hari, dan sehingga hari ini belum pernah lagi saya gagal untuk menerbitkan satu post sehari di blog ini. Terlebih dua post sehari tu adalah, erm Jumaat dua minggu lepas:-)

Alhamduillah, berjaya juga saya mengamalkan apa yang saya pelajari. Berlatih menulis, walaupun sebaris ayat sehari. Ya, menulislah setiap hari andai kamu ingin menjadi penulis juga blogger.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah. Atas kuasa-Nya, dengan kasih sayang-Nya, hari ini saya dapat menyelesaikan satu urusan penting saya. sebelum ini nampak seperti tiada ikhtiar lagi yang mampu saya lakukan, namun saya sedar adakalanya kehidupan memang begitu. Kita akan menemui satu keadaan di mana apa yang mampu kita lakukan hanya tinggal doa dan penyerahan kepada Tuhan.

Bukankah itu yang dibuktikan oleh Baginda Rasulullah (SAW) ketika melangkah keluar rumah Baginda pada malam rumah Baginda di kelilingi oleh pemuda-pemuda kafir. Bukankah hanya doa dan tawakkal yang menjadi bekal kepada Nabi Yunus ketika Baginda berada dalam perut ikan nun. Juga, bukankah Nabi Ibrahim tiada daya lagi untuk menyelamatkan diri ketika Baginda diikat dan dibakar. Bukankah begitu juga yang berlaku ketika Siti Hajar berlari-lari di padang pasir mencari air yang akhirnya mengeluarkan punca telaga zam-zam.

Kepada diri sendiri, walau baru sebulan.. percayalah pada apa yang dilakukan. Merancang matlamat biar mengukur baju di badan sendiri. Setelah diukur dan ditimbang, buatlah perancangan. Setelah merancang, melangkahlah dan terus melangkah. Relakan diri membuat salah, belajar dan berubah.Tahniah diri kerana berani mengambil keputusan dan berjaya melakukan apa yang dirancang. Apapun, usaha lagi dan lagi!

"Tidak akan kamu berasa gundah
andai kamu tahu dan pasti
apa yang sedang kamu lakukan.."


...Syukur kepada Allah. Saya cintakan Tuhan saya. Terlalu cinta,

kerana saya tahu Dia tidak pernah lalai menjaga hamba-Nya....

1 ulasan:

  1. salam ziarah.. salam perkenalan.. satu nukilan yang baik.. teruskan saudra

    BalasPadam