Sabtu, November 28, 2009

Korban Sikap Tidak Tahu dan Tidak Mahu


  Korban Sikap
Tidak Tahu dan Tidak Mahu



Photobucket

(Imej dari http://hatiwanita.wordpress.com)


Aidil Fitri sememangnya punya kebahagiaan, keindahan, keseronokan, kesantaian dan nilai sentimental bagi saya. Sentimental kerana sepanjang kehidupan, saya telah melalui Aidil Fitri dalam pelbagai keadaan. Aidil Adha pula memberi saya keindahan, kenikmatan dan rasa tersendiri. Saya juga pernah melalui Aidil Adha dalam pelbagai keadaan dan di pelbagai tempat. Namun, dari segi kerohanian, Aidil Adha memberi saya kegembiraan dan keindahan berganda kerana tempoh yang agak panjang untuk kita mengumandangkan takbir hari raya yang indah itu.

Mukaddimah:


Pertama, saya bersyukur kerana Allah merezekikan saya dengan sedikit ilmu dan kefahaman tentang solat, Alhamdulillah.

Kedua, saya tidak memiliki sekelumit niat untuk memperkecilkan sesiapa atau mana-mana golongan dalam post saya hari ini. Saya menyokong semua usaha dakwah Islamiyyah dan saya sanggup menyumbang dan membantu semampu saya.

Post ini saya tulis untuk menunaikan amanah daripada ilmu yang Allah rezekikan kepada saya dan sebagai sumbangan yang mampu saya buat untuk membantu memperbaiki golongan dakwah yang satu ini.


 
Isu Utama

Photobucket
(Imej daripada http://drzeze.wordpress.com)

Sebenarnya, saya sudah merancang post khas untuk hari ini berkaitan korban, namun apa yang berlaku di Surau At-Taqwa ketika zuhur tadi membuatkan saya memikirkan perkara yang akan saya perkatakan hari ini lebih menarik, penting dan utama kerana ia berkaitan solat dan solat itu adalah nadi dan tiang agama, iman dan taqwa.

Solat sunat ba'diah zuhur saya tadi agak terganggu. Sebagai manusia biasa, saya belum mampu untuk tidak terganggu oleh apa yang berlaku di tepi saya ketika saya sedang bersolat. Selepas zuhur, saya memilih saf di bahagian belakang surau untuk bersolat sunat kerana di situ lebih 'privasi'. Jarak satu langkah di kanan saya, seorang remaja (dalam lingkungan umur tingkatan 1 atau 2 begitu-berpakaian jubah dan serban) sedang bersolat juga. Sebelum bersolat sunat, saya sempat melihat dua orang belia yang saya kenali dan salah seorangnya adalah kawan adik lelaki saya; yang seorang lagi berjubah dan berserban. Kemudian, saya pun memulakan solat sunat.

Dari awal solat sunat saya, saya sudah terganggu oleh ketiga-tiga pemuda ini. Dua orang belia tadi, berbincang seketika tentang sama ada remaja kecil di kanan saya itu bersolat sunat atau bersolat zuhur. Perbincangan ini berlaku sedangkan kawan adik lelaki saya tadi sudah menepuk bahu si remaja kecil tadi. Akhirnya, remaja kecil tadi habis bersolat dan mengatakan dia solat sunat; makanya mereka pun mendirikan solat zuhur di tepi saya.

Dalam soal makmum yang terlewat sampai, boleh untuk mereka berimamkan orang yang sedang solat sunat; yang tidak boleh ialah berimamkan orang yang solat musafir atau makmum lewat itu adalah musafir. Dalam kisah di surau tadi, dua orang pemuda tersebut sedang berada dalam kekurangan maklumat tentang solat, sedangkan mereka berdua adalah orang yang aktif 'keluar' berdakwah hingga keluar perbatasan daerah dan negeri.

Isu kedua di sini ialah, kita tidak boleh menganggap orang lain dalam surau sebagai orang yang khusyuk lantas memikirkan perbuatan kita tidak mengganggu orang lain. Dalam kisah ini, saudara-saudara ini tidak sepatutnya membuat 'isu' di sebelah saya yang sedang bersolat.

Isu ketiga dan utama di sini ialah, pemuda yang dua orang tadi, walaupun adalah antara jamaah tetap di surau ini, mereka tidak pernah mahu duduk di majlis ilmu yang diadakan di surau setiap malam kecuali malam Jumaat. Sedangkan, mereka itu adalah orang yang kuat semangat dakwahnya. Saya sayangkan saudara yang kuat semangat dakwahnya ini; kerana ramai rakan-rakan saya yang memiliki ilmu agama tapi tidak punyai semangat dakwah. (Maafkan saya mengatakan kebenaran yang pahit ini).

Saya ada satu sesi dalam majlis ilmu di surau ini iaitu pada malam hari Sabtu. Saya juga adalah sidang tetap majlis ilmu Ustaz Hudari (kelas fiqh) pada malam hari Rabu. Bukan sahaja kerana Ustaz Hudari adalah guru mengaji saya ketika saya kecil dulu, saya juga duduk dalam majlis beliau kerana saya dahagakan ilmu; selain untuk meraikan majlis ilmu.

Apa yang agak menyedihkan saya, pemuda yang dua orang tadi tidak pernah duduk dalam majlis ilmu di surau ini. Mereka menumpu kepada usaha tarbiah, keluar untuk berdakwah dan ikhtiar untuk meramaikan jumlah jamaah mereka. Sedangkan agama kita adalah agama yang berdiri atas tiang ilmu dan kefahaman.

Photobucket

(Imej daripada http://drzeze.wordpress.com)



Khatimah:


Saya berdoa kepada Allah semoga ketiga-tiga pemuda yang saya kisahkan di sini tetap istiqomah dalam semangat dakwah mereka. Saya juga berdoa agar Allah memantapkan usaha mereka yang baik dan ikhlas itu dengan mengurniakan mereka ilmu dan kefahaman yang lebih baik.

Saya juga mula berfikir, bagaimana ya saya boleh membantu mereka? Boleh sesiapa memberi panduan dan cadangan kepada saya?




Tiada ulasan:

Catat Ulasan