29/11/2009

Bila Keldai Dipakaikan Serban


  Bila Keldai Dipakaikan Serban






Photobucket
(Imej cadangan daripada Google)


Post yang saya tulis semalam mengingatkan saya dengan kisah menarik ini. (Jika anda belum membaca post semalam- Sila Klik Sini Untuk Membacanya). Kisah menarik ini berkenaan seorang ahli sains yang berasal dari Tus, Iran. Namanya, Abu Ja’far Muhammmad ibnu Muhammad al-Hassan atau lebih dikenali sebagai Nasiruddin Al-Tusi.


Suatu hari Nasiruddin Al-Tusi memasuki sebuah kampung dan seluruh isi kampung itu meraikan kedatangannya.

“Selamat datang wahai ahli ilmu, ajarkan kami, ajarkan kami..” sambut penduduk kampung tersebut.

“Mengapa kamu mengatakan aku ahli ilmu?” Soal Nasiruddin Al-Tusi kepada orang-orang kampung.

“Kerana serban besar yang kamu pakai wahai Tuan”, jawab penduduk kampung.

Nasiruddin Al-Tusi lalu membuka serbannya dan diletakkan di kepala keldai yang dibawanya. “Ya, selepas ini kamu boleh belajar daripada keldaiku kerana ia adalah ahli ilmu sekarang justeru ia telah memakai serban besar di kepalanya”.


Catatan: Nasiruddin Al-Tusi (597H/ 1201M-672H-1274M) merupakan saintis Islam yang juga merupakan ahli falsafah, matematik, astronomi, matematik, teologi, pakar perubatan dan penulis kitab-kitab besar yang menjadi rujukan umat Islam dan bukan Islam dalam pelbagai bidang ilmu terutamanya bidang sains, matematik, perubatan dan astronomi. Malah sebuah kawah di bulan telah dinamakan dengan nama beliau. Menyedihkan segelintir umat Islam hanya mengenali beliau sebagai ahli sufi.

28/11/2009

Korban Sikap Tidak Tahu dan Tidak Mahu


  Korban Sikap
Tidak Tahu dan Tidak Mahu



Photobucket

(Imej dari http://hatiwanita.wordpress.com)


Aidil Fitri sememangnya punya kebahagiaan, keindahan, keseronokan, kesantaian dan nilai sentimental bagi saya. Sentimental kerana sepanjang kehidupan, saya telah melalui Aidil Fitri dalam pelbagai keadaan. Aidil Adha pula memberi saya keindahan, kenikmatan dan rasa tersendiri. Saya juga pernah melalui Aidil Adha dalam pelbagai keadaan dan di pelbagai tempat. Namun, dari segi kerohanian, Aidil Adha memberi saya kegembiraan dan keindahan berganda kerana tempoh yang agak panjang untuk kita mengumandangkan takbir hari raya yang indah itu.

Mukaddimah:


Pertama, saya bersyukur kerana Allah merezekikan saya dengan sedikit ilmu dan kefahaman tentang solat, Alhamdulillah.

Kedua, saya tidak memiliki sekelumit niat untuk memperkecilkan sesiapa atau mana-mana golongan dalam post saya hari ini. Saya menyokong semua usaha dakwah Islamiyyah dan saya sanggup menyumbang dan membantu semampu saya.

Post ini saya tulis untuk menunaikan amanah daripada ilmu yang Allah rezekikan kepada saya dan sebagai sumbangan yang mampu saya buat untuk membantu memperbaiki golongan dakwah yang satu ini.


 
Isu Utama

Photobucket
(Imej daripada http://drzeze.wordpress.com)

Sebenarnya, saya sudah merancang post khas untuk hari ini berkaitan korban, namun apa yang berlaku di Surau At-Taqwa ketika zuhur tadi membuatkan saya memikirkan perkara yang akan saya perkatakan hari ini lebih menarik, penting dan utama kerana ia berkaitan solat dan solat itu adalah nadi dan tiang agama, iman dan taqwa.

Solat sunat ba'diah zuhur saya tadi agak terganggu. Sebagai manusia biasa, saya belum mampu untuk tidak terganggu oleh apa yang berlaku di tepi saya ketika saya sedang bersolat. Selepas zuhur, saya memilih saf di bahagian belakang surau untuk bersolat sunat kerana di situ lebih 'privasi'. Jarak satu langkah di kanan saya, seorang remaja (dalam lingkungan umur tingkatan 1 atau 2 begitu-berpakaian jubah dan serban) sedang bersolat juga. Sebelum bersolat sunat, saya sempat melihat dua orang belia yang saya kenali dan salah seorangnya adalah kawan adik lelaki saya; yang seorang lagi berjubah dan berserban. Kemudian, saya pun memulakan solat sunat.

Dari awal solat sunat saya, saya sudah terganggu oleh ketiga-tiga pemuda ini. Dua orang belia tadi, berbincang seketika tentang sama ada remaja kecil di kanan saya itu bersolat sunat atau bersolat zuhur. Perbincangan ini berlaku sedangkan kawan adik lelaki saya tadi sudah menepuk bahu si remaja kecil tadi. Akhirnya, remaja kecil tadi habis bersolat dan mengatakan dia solat sunat; makanya mereka pun mendirikan solat zuhur di tepi saya.

Dalam soal makmum yang terlewat sampai, boleh untuk mereka berimamkan orang yang sedang solat sunat; yang tidak boleh ialah berimamkan orang yang solat musafir atau makmum lewat itu adalah musafir. Dalam kisah di surau tadi, dua orang pemuda tersebut sedang berada dalam kekurangan maklumat tentang solat, sedangkan mereka berdua adalah orang yang aktif 'keluar' berdakwah hingga keluar perbatasan daerah dan negeri.

Isu kedua di sini ialah, kita tidak boleh menganggap orang lain dalam surau sebagai orang yang khusyuk lantas memikirkan perbuatan kita tidak mengganggu orang lain. Dalam kisah ini, saudara-saudara ini tidak sepatutnya membuat 'isu' di sebelah saya yang sedang bersolat.

Isu ketiga dan utama di sini ialah, pemuda yang dua orang tadi, walaupun adalah antara jamaah tetap di surau ini, mereka tidak pernah mahu duduk di majlis ilmu yang diadakan di surau setiap malam kecuali malam Jumaat. Sedangkan, mereka itu adalah orang yang kuat semangat dakwahnya. Saya sayangkan saudara yang kuat semangat dakwahnya ini; kerana ramai rakan-rakan saya yang memiliki ilmu agama tapi tidak punyai semangat dakwah. (Maafkan saya mengatakan kebenaran yang pahit ini).

Saya ada satu sesi dalam majlis ilmu di surau ini iaitu pada malam hari Sabtu. Saya juga adalah sidang tetap majlis ilmu Ustaz Hudari (kelas fiqh) pada malam hari Rabu. Bukan sahaja kerana Ustaz Hudari adalah guru mengaji saya ketika saya kecil dulu, saya juga duduk dalam majlis beliau kerana saya dahagakan ilmu; selain untuk meraikan majlis ilmu.

Apa yang agak menyedihkan saya, pemuda yang dua orang tadi tidak pernah duduk dalam majlis ilmu di surau ini. Mereka menumpu kepada usaha tarbiah, keluar untuk berdakwah dan ikhtiar untuk meramaikan jumlah jamaah mereka. Sedangkan agama kita adalah agama yang berdiri atas tiang ilmu dan kefahaman.

Photobucket

(Imej daripada http://drzeze.wordpress.com)



Khatimah:


Saya berdoa kepada Allah semoga ketiga-tiga pemuda yang saya kisahkan di sini tetap istiqomah dalam semangat dakwah mereka. Saya juga berdoa agar Allah memantapkan usaha mereka yang baik dan ikhlas itu dengan mengurniakan mereka ilmu dan kefahaman yang lebih baik.

Saya juga mula berfikir, bagaimana ya saya boleh membantu mereka? Boleh sesiapa memberi panduan dan cadangan kepada saya?




27/11/2009

Salam Aidil Adha


  Salam Aidil Adha







(Video dari YouTube. Di upload ke YouTube oleh SuluSelatan)


Keindahan dan kebahagian hari Jumaat kali ini adalah dua kali ganda kerana bersamaan dengan tarikh
10 Zullhijjah iaitu hari raya Aidil Adha


Andai diri saya ini dijana oleh kuasa bateri, tentu tubuh saya sudah menunjukkan 'signal' [low-batt]. Hehe :-)

Seperti kebiasaan, hari ini saya sibuk ke kenduri. Pertama pagi tadi, berkenduri di rumah nenek. Makan dan berborak dengan sanak saudara sehingga menjelang waktu untuk ke masjid bersolat Jumaat. Petang pula kenduri di rumah seorang pak cik saya yang meraikan kehadiran cucu baru beliau. Rumah pak cik yang agak jauh dan cuaca yang agak mendung dan sekali-sekali hujan membuatkan saya berasa hampir sakit kepala. Selesai saya membaca doa kesyukuran di majlis tersebut dan sesudah selesai majlis makan-makan, saya meminta 'paracetamol'. Lega sikit kepala yang hampir sakit. Belum sempat berehat, malam pula ada jamuan makan di rumah keluarga saya.

Namun, seperti biasa juga. Hari Jumaat tetap merupakan hari terbaik saya dalam seminggu ini. Indahnya hari Jumaat hari ini ditambah oleh sambutan Aidil Adha. Nyamannya angin Jumaat di masjid tadi, membuatkan saya 'lena diuilt intan' ketika khatib sedang membacakan khutbah Jumaat:-)

.. indahnya Aidil Adha kerana kita berpeluang untuk bertakbir raya lebih lama.

26/11/2009

Berkorban Untuk Menjadikan Umat Islam Lebih Kaya


  Berkorban Untuk Menjadikan
Umat Islam Lebih Kaya





Photobucket


Salam Aidil Adha
Buat Semua Pengunjung dan Pembaca
Jurnal Online UstazCahaya


Aidil Adha datang lagi. Walaupun agak kurang daripada ketika berada di ambang Syawal, kemeriahan menyambut kedatangan Aidil Adha tetap dirasa. Jalan-jalan utama agak sesak. Ramai orang di kedai-kedai segar (cold storage) membeli daging untuk dibuat lauk. Di tepi-tepi jalan sudah ada gerai-gerai sementara menjual lemang. Kedai runcit agak sesak dengan pelanggan yang membeli kelapa parut untuk dibuat santan.

Kedatangan Aidil Adha sinonim dengan aktiviti menyembelih binatang korban sama ada untuk berkorban, sedekah atau nazar. selain itu, kedatangan Aidil Adha ini membawa ingatan kita kepada Nabi Ibrahim (AS) dan Nabi Ismail (AS). Nabi Ibrahim adalah Nabi yang paling banyak disebut namanya oleh kita sehari semalam selepas nama Muhammad (SAW) iaitu ketika bersalawat dalam tahiyat akhir solat.

Mengimbas kembali sejarah pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail; kita mendapat pengajaran bahawa, sesungguhnya Tuhan tidak melihat pada apa yang kita korbankan, tetapi Tuhan menilai hati dan keikhlasan hamba-Nya yang berkorban itu. Perhatikan sejarah, bukanlah Allah (SWT) menginginkan Nabi Ibrahim untuk mengorbankan anaknya Nabi Ismail kerana itu adalah berlawanan dengan fitrah manusia. Namun sebenarnya Allah ingin melihat kesanggupan dan ketaatan kedua-dua beranak itu. Makanya, setelah kedua-duanya sanggup dan dengan reda untuk berkorban, Allah (SWT) pun menukarkan korban tersebut kepada seekor kibas.

Begitulah kita pada hari ini, bukanlah soal ibadah kurban dan aqiqah yang hukumnya sunat itu yang menjadi keutamaan. Namun, lebih daripada itu sebenarnya sejauh mana kita sanggup berkorban untuk menyisihkan sedikit daripada rezeki kita untuk dikongsikan kepada saudara kita yang lebih memerlukan. Selepas menjamu saudara seagama kita yang miskin dan fakir di luar negara setahun sekali sempena Aidil Adha, kemudian  apa yang kita lakukan untuk mengeluarkan sebahagian besar umat Islam seluruh dunia daripada kemiskinan. Sedangkan, kemiskinan dan kepapaan itulah kanser utama yang melemahkan dan bakal menghancurkan umat ini.

Pada zaman Rasulullah (SAW) dan para khalifah Ar-Rasyidin, umat Islam bukanlah umat yang miskin dan papa. Kita dalam sejarah adalah umat yang makmur dan kaya raya. Dikhabarkan, semasa zaman Khalifah Umar Abdul Aziz memerintah, setiap tahun wakil kerajaan berkeliling negara mencari orang yang layak untuk menerima harta zakat. Jika benarlah khabar itu, betapa kayanya umat kita ketika itu. Para Imam Fiqh yang empat itu juga bukan daripada kalangan keluarga yang miskin. Mereka adalah daripada keluarga bangsawan dan hartawan. Oleh kekayaan keluarga, mereka mampu mengembara dan berkelana mengumpul ilmu, menjilidkan ilmu menjadi kitab dan menyebarkan ilmu sehingga diwarisi oleh kita hari ini.

Melihat pada diri, saya bertanya, apa agaknya pengorbanan yang patut saya lakukan agar saya menjadi kaya?
Kekayaan itu perlu dan mesti. Mungkinkah ada pembaziran dalam saya membelanjakan rezeki kurniaan Allah. Jika ada, maka wajiblah saya mengorbankan amalan yang menjadi pembaziran itu. Mungkin juga perlu mengorbankan sedikit tenaga, simpanan dan masa untuk membina perniagaan atau mencari rezeki tambahan?

Apa agaknya sikap dan amalan buruk yang perlu saya korbankan? Apakah sikap yang saya perlu buang agar saya menjadi lebih baik, lebih berjaya dan lebih kaya?

Apakah yang telah saya korbankan sama ada dalam bentuk wang, masa, akal fikiran dan tenaga untuk mengajak dan mendekatkan orang lain kepada kebaikan serta menjauhkan mereka daripada dosa, maksiat dan kejahatan?


Perjuangan utama kita sekarang adalah untuk melepaskan umat kita daripada belenggu penindasan dan kemiskinan. Kepada diri sendiri dan saudara sekalian, marilah.. marilah kita berusaha sedaya upaya melepaskan diri kita daripada kemiskinan menuju kekayaan.



Wahai para ulamak, para ilmuwan, para pemimpin, para mufti, ayuhlah.. berhentilah bertelagah dan berbantah-bantah. Apa yang penting untuk umat ini ialah kekayaan. Korbankan ego, korbankan kepentingan diri dan parti, korbankan sikap permusuhan, korbankan besar kepala, korbankan bangga diri, korbankan kejahilan, korbankan kemunduran, korbankan kebodohan..

Sedarlah, dengan kekayaan dan iman serta taqwa, Insya Allah.. tidak ada umat kita yang menjadi pelacur, penjenayah, perompak, pengedar dadah, penghutang dengan along dan sebagainya. Ingatlah, perngorbanan utama dan perlu untuk kita hari ini adalah agar kita menjadi kaya setara Yahudi dan Amerika.. kerana umat ini dulu adalah umat yang kaya. Bukan saja kaya harta, mereka juga kaya dengan peribadi yang mulia berserta iman dan taqwa.


...kerana umat ini dulu adalah umat yang kaya.

Bukan saja kaya harta, mereka juga kaya dengan peribadi yang mulia berserta iman dan taqwa.





...korbanlah apa yang mesti dikorbankan.

25/11/2009

EMAIL DARI PEROMPAK MAYBANK


  EMAIL DARI PEROMPAK MAYBANK





Photobucket


Saya percaya, tentu ramai di antara kita yang menggunakan kemudahan perbankan internet, lebih-lebih lagi ramai antara kita yang menjadi pelanggan MAYBANk, CIMB dan PUBLIC BANK- kewajipan untuk memiliki akaun paypal suatu masa dulu sebelum polisi PayPal berubah baru-baru ini.

Dalam post ini, saya akan berkongsi dengan saudara sekalian berkenaan cara mengenali email dari perampok siber yang kita terima; bagaimana mengenali ia, apa yang mesti dilakukan dan apa yang JANGAN dilakukan.

Walaupun kita sudah boleh mengenal email daripada penjenayah siber, dan kita selamat daripada percubaan jahat mereka, kita tidak seharusnya membiarkan perkara ini begitu saja. Kita bertanggungjawab untuk melaporkan kepada pihak bank tentang kegiatan jenayah siber ini agar tidak ada orang lain yang menjadi mangsa. Memerangi jenayah adalah tangunggjawab bersama. Walaupun mungkin kita hanya kehilangan beberapa ringgit, itu tidak bermakna ia tidak apa-apa. Bayangkan jika 100 orang menjadi mangsa 'beberapa ringgit' maka berapa banyak yang sudah dikaut oleh penjenayah ini?


Photobucket


Dua hari lepas, saya menerima satu email dari salah satu perampok siber yang menggunakan alamat email maybank@klue.com.my. Walaupun sedang 'berdepan' dengan penjenayah, saya masih boleh tersenyum dan hampir tergelak sendirian. Awal-awal lagi perampok ini sudah kantoi. Ini kerana, email itu saya terima di alamat email yang tidak pernah saya gunakan untuk perbankan internet. Email itu adalah salah satu email yang saya gunakan untuk perniagaan lelongan online saya.

Email itu saya terima di folder SPAM peti email saya. (Ini sekadar pemerhatian saya), jarang saya menerima email yang rasmi lebih-lebih lagi daripada pihak bank yang disaring Google ke folder SPAM peti email saya. Sebaik membuka email tersebut, terdedah lagi ciri meragukan email tersebut iaitu, email tersebut tidak menyebut nama saya, atau sekurang-kurangnya menyebut 'Dear customer' seperti kebiasaan email daripada pihak bank.


Fakta Kantoi Nombor 1:


Email yang kononnya daripada pihak bank, dihantar menggunakan alamat email yang lain daripada alamat laman web rasmi pihak bank.

Fakta Kantoi Nombor 2:


Email dihantar penjenayah siber ke alamat email yang tidak kita gunakan atau daftarkan dengan pihak bank.

Fakta Kantoi Nombor 3:


Email yang dihantar penjenayah siber masuk ke folder SPAM peti email dan email tersebut tidak menyebut nama pelanggan, atau sekurang-kurangnya menyebut 'Dear customer'.




 
APA YANG PERLU KITA LAKUKAN JIKA MENERIMA EMAIL DARIPADA
PENJENAYAH SIBER?





Apa yang perlu kita lakukan terhadap email daripada perampok seperti ini? Pertama, semasa menerimanya kita mesti bertenang. Jangan gugup tetapi jangan juga sambil lewa. Ingat, kita sedang berdepan dengan penjenayah. Dibimbangi kegugupan atau 'kesambil-lewaan' kita akan menyebabkan kita tersalah memahami email tersebut atau dengan tidak sengaja klik pada pautan yang ada dalam email tersebut.

Halakan 'cursor' mouse ke pautan dalam email tersebut, TAPI INGAT, JANGAN SEKALI-KALI klik pada pautan tersebut. Lihat ke bahagian bawah browser kita, lihat url pautan tersebut dan salin ia ke kertas atau notepad. Juga jangan lupa untuk cetak email tersebut dan ambil screenshot.


Photobucket


Selepas itu, jangan lupa untuk semak akaun bank anda. Sekiranya sudah berlaku kecurian atau masalah, anda dapat mengesan awal dan bertindak segera. Juga, jangan lupa untuk tukar maklumat log-in perbankan internet anda.

Walaupun tidak berlaku sebarang masalah atau kecurian pada akaun bank kita, kita perlu secepat mungkin melaporkan perkara tersebut kepada pihak bank. Ini sangat penting agar pihak bank dapat melakukan tindakan yang sewajarnya dan agar tidak ada orang lain yang bakal menjadi mangsa rampokan penjenayah tersebut.

Untuk pelanggan Maybank, anda boleh ikuti langkah-langkah yang saya nyatakan di sini. Untuk pelanggan bank lain, sila rujuk laman web rasmi bank anda.

1. Buka laman web rasmi Maybank iaitu http://www.maybank2u.com. Anda akan diredirect ke http://www.maybank2u.com.my kerana kedua-dua halaman tersebut adalah sama.


Photobucket


2. Klik pada pautan [Report suspicious email].


Photobucket


3. Anda akan dipaparkan dengan borang seperti di bawah.


Photobucket


4. Isi borang tersebut dengan maklumat yang diperlukan.

Photobucket


5. Pada ruangan [Phising URL], masukkan url yang anda salin sebelum ini.


Photobucket


6. Pada ruangan [Comments], masukkan alamat email dan kandungan email dari penjenayah siber yang kita terima. Rujuk gambar-gambar di bawah:


Photobucket

Photobucket


7. Hantar laporan anda dengan klik pada butang [SUBMIT] pada borang tersebut.


Photobucket


8. Laporan anda sudah selamat dihantar jika anda melihat paparan seperti di bawah.


Photobucket 


Anda boleh juga membawa cetakan email tersebut ke cawangan bank yang berdekatan. Namun, kerana kekangan masa, saya tidak dapat berbuat demikian.



Apa Yang TIDAK BOLEH DILAKUKAN?


JANGAN SEKALI-KALI KLIK PADA APA-APA PAUTAN YANG ADA DALAM EMAIL BERKENAAN.


Semoga post ini bermanfaat untuk kita dan semoga dengan ini saya sudah menjalankan tanggungjawab saya kepada negara untuk sama-sama mencegah jenayah. Jika anda ada apa-apa yang hendak ditambah atau anda ada soalan, sila tinggalkan ia di ruangan pendapat di bawah. 



24/11/2009

‘Orang Yang Teruja Untuk Berkongsi’


  ‘Orang Yang Teruja Untuk Berkongsi’




Photobucket



Saya seorang Guru Agama. Menjadi guru agama, pada pendapat saya; wajib juga menjadi seorang Pendakwah. Walaupun sebenarnya, ramai juga guru agama yang tidak berdakwah:-) Namun, saya tidak suka mengajar.. saya lebih suka berkongsi. Saya belajar dan terus belajar dan saya sentiasa teruja untuk berkongsi apa yang saya telah pelajari.

Begitu juga saya sebagai seorang pendakwah, saya lebih suka berkongsi. Jika saya menemui satu kebaikan dan saya dapat mengamalkannya, saya akan mengamalkannya dan mengajak orang lain untuk mengamalkannya. Adakalanya, kebaikan yang saya temui tidak mampu untuk saya amalkannya, saya tetap teruja untuk berkongsi ia dengan orang lain. Bagi saya, mungkin kebaikan itu boleh diamalkan oleh orang lain. Namun ada yang beranggapan negatif dengan sikap saya itu, tapi tidak mengapa. Kita tahu apa yang kita lakukan dan Tuhan lebih tahu tentang kita dan adalah Dia Maha Mengetahui lagi Maha Adil.


Dalam tahun 2005, ketika majalah Al-Islam masih di bawah ‘kepimpinan’ Astora Jabat, saya kerap membaca tentang blog. Astora kerap menulis tentang buat duit dengan blog dan bengkel buat duit dengan blog ada beliau kendalikan.

(Saya sudah lupa edisi berapa, dan edisi itu tiada dalam simpanan saya lagi sekarang), di dalam Al-Islam pernah ditulis tentang seorang Islam yang mendapat RM1juta pertama beliau dari blog. Itu dari Google Ads. Sayangnya saya ketika itu terlalu ‘lembab’ kerana berfikir ia adalah mustahil bagi saya dan ia bukan bagi saya.

Insya-Allah, mungkin esok atau lusa saya akan menulis tentang rezeki pertama yang saya perolehi dari pengiklanan di blog ini.



Seperti yang saya taipkan sebelum ini, saya seorang Guru Agama yang lebih suka berkongsi ilmu daripada mengajar. Saya seorang Pendakwah yang berkongsi kebaikan lebih daripada berdakwah. Saya merasakan diri saya ini yang lebih perlu diajar, dididik dan didakwah. Oleh kerana itu, saya lebih yakin dan teruja untuk berkongsi lebih daripada mengajar, mendidik dan mendakwah orang lain. Maka, sebagai seorang blogger, saya juga begitu. Saya tetap dengan ‘keterujaan’ untuk berkongsi. Kini, saya mula mencari jalan agar lebih banyak orang yang ‘saya boleh berkongsi’ dengannya.

Maka dengan itu, saya pun merancang ‘Siri Panduan Percuma UstazCahaya’. Panduan bersiri tersebut akan saya edarkan dari semasa ke semasa bermula Disember nanti. Saya tidak bermaksud untuk mengajar sesiapa, apa yang saya rancangkan ini semata-mata kerana saya ingin berkongsi apa yang telah saya pelajari.

Sekali lagi anda perlu mengingati saya sebagai ‘Orang yang teruja untuk berkongsi’:-)


23/11/2009

Yang Ke-50: Post Istimewa


  Yang Ke-50: Post Istimewa





(Alhamdulillah. Ini adalah post yang ke-50 di blog ini)




Photobucket



Alhamdulillah. syukur kepada Allah. Sebaik saya sampai di rumah kembali selepas bersolat asar di Surau At-Taqwa, permainan alam di luar sana pun bermula. Angin, hujan, awan, dan pokok mula berseronok. Angin berlari-lari agak laju. Awan tertolak riang persis sekumpulan kanak-kanak bermain tarik pelepah kelapa. Angin yang berlari-lari, juga membuat hujan menari-nari. Dahan dan daun pokok mengapai-gapai dan melambai-lambai kegembiraan mungkin kerana teruja melihat riang ria pesta angin, awan dan hujan. Alam di luar tidak ubah seperti sekumpulan kanak-kanak yang bermain, berkejaran dan berseronok.



Syukur kerana hari ini hari cuti persekolahan. Makanya cuaca di luar sana boleh dianggap sebagai pesta. Jika hari persekolahan, tentu saya merasakan kepayahan kesan hujan dan ribut begini. Bukanlah sesuatu yang mudah meredah hujan dan angin dengan menunggang motorsikal selama 25 minit. Sebenarnya feri boleh menjadi jalan pintas. Namun, kebiasaannya angin kencang akan menyebabkan sungai bergelombang agak tinggi dan feri biasanya tidak beroperasi sehingga cuaca kembali tenang. Jika pun feri mahu bergerak, saya tentu tidak sanggup berada di dalamnya meredah angin dan gelombang. Feri tentunya beroleng-oleng dan saya akan berada di dalamnya dengan perasaan yang penuh debaran:-)

'Pengembaraan' yang baru bermula 3 hari, sudah mula menghidangkan saya dengan cabaran dan dugaan. Alhamdulillah, hari ini, satu caraban yang menduga ketabahan sudah berjaya dilalui dan dilepasi. Ia memberi banyak pengajaran kepada saya dan ia menguatkan lagi keazaman saya. Terima kasih kepada Mr Saufi Lim yang membantu saya menyelesaikan masalah dan cabaran tersebut. Semoga Mr Saufi dan keluarga sentiasa beroleh kebaikan dan kasih sayang Allah SWT.


Post yang ke-Lima Puluh.
Saya memang menunggu saat ini...





Photobucket


Post yang ke-Lima Puluh. Saya memang menunggu saat ini. Sejak memulakan penulisan di blog ini pada  hari Isnin, bertarikh 5 Oktober 2009 yang lalu; saya menetapkan untuk menulis satu post sehari untuk blog ini. Alhamdulillah, setakat ini saya tidak pernah gagal untuk melakukannya. Malah saya pernah menulis 2 post sehari di blog ini pada satu hari Jumaat yang indah.:-)

(Post pada 4 Oktober, 2009 tidak dikira kerana ia adalah untuk bantuan kepada kekotak Langganan Email RSS blog ini).

Mengapa post ke-50 ini sangat penting kepada saya? Selain daripada latihan disiplin diri, latihan menulis dan latihan ketabahan dan kreativiti dalam berkerja, ia juga berkaitan dengan amalan yang menjadi tabiat. Ada mengatakan, jika satu amalan dilakukan selama 40 hari, ia akan jadi tabiat dan sukar untuk diubah; kerana itu ahli hikmah mengingatkan kita untuk tidak berterusan melakukan perbuatan dosa, maksiat dan perbuatan yang tidak baik agar tidak menjadi amalan berterusan. Dalam buku 'The Secrets of Ebay Millionaires' Benjamin Wee menggalakkan setiap ilmu dan tips yang diajarkan dalam buku tersebut perlu diamalkan selama 7 hari sehingga ia menjadi tabiat. Bulan Ramadhan yang berlangsung selama 30 hari juga dikatakan bulan tarbiah untuk umat Islam.

Makanya, jika saya berjaya menerbitkan 50 post di blog ini, bermakna saya sudah melepasi semua pendapat tersebut dan Insya Allah, amalan menulis di blog ini akan menjadi tabiat saya. Tabiat menulis sangat penting bagi saya; sama ada saya sebagai guru agama, atau saya sebagai pendakwah, atau saya sebagai penulis, atau saya sebagai blogger, atau saya sebagai usahawan online.

Pentingnya penulisan dapat dilihat sejak zaman Rasulullah (SAW) lagi. Sumbangan yang diberikan oleh para sahabat yang mencatatkan ayat Al-Quran sangat besar kepada kita hari ini. Kemudian idea Saidina Umar  (RA) untuk menjilidkan Al-Quran sebagai sebuah mushaf memudahkan umat sehingga hari akhir nanti untuk membaca dan bersama Al-Quran. Kemudian peranan yang disumbangkan oleh para ahli imu dan ulamak silam yang rajin menulis dan menyalin ilmu menjadi kitab adalah sangat besar untuk manfaat kita hari ini dan generasi depan. Peri penting huruf, tulisan dan penulisan tidak akan berkurangan sehingga hari Kiamat; kerana itu ayat pertama yang diwahyukan kepada Rasulullah (SAW) adalah perkataan 'Baca'. Tanpa sesuatu yang ditulis, apakah yang hendak dibaca?


Peri penting huruf, tulisan dan penulisan tidak akan berkurangan sehingga hari Kiamat; kerana itu ayat pertama yang diwahyukan kepada Rasulullah (SAW) adalah perkataan 'Baca'. Tanpa sesuatu yang ditulis, apakah yang hendak dibaca?





Photobucket



Alhamdulillah, selama 50 hari pertama blog ini saya usahakan, banyak ilmu dan kemahiran baru yang saya pelajari. Saya juga sudah berhubung dan bersahabat dengan beberapa blogger lain. Syukur juga, blog ini sudah meraih beberapa rezeki dalam 50 hari pertama ini.

Saya selalu menilai blog ini. Namun untuk permulaan, saya cuma ingin menilai satu perkara sahaja dulu iaitu; 'Adakah saya sayangkan blog ini?'. Alhamdulillah, saya sayangkan blog ini. Itu bermakna saya menikmati apa yang saya lakukan di blog ini dan itu adalah tanda blog ini memberi kepuasan kepada saya.

Doakan saya agar hari-hari berikutnya pada blog ini adalah sentiasa lebih baik daripada hari-hari sebelumnya. Begitu juga yang saya harapkan dan doakan untuk diri saya dan peribadi saya, Amin.

22/11/2009

SKRIP DRAMA: ALHAMDULILLAH...INNALILLAH


  SKRIP DRAMA: ALHAMDULILLAH...INNALILLAH







Photobucket
(Imej dari ILuvIslam.com)
 



Skrip ni saya tulis untuk 'Peraduan Menulis Sastera Kreatif Skrip Drama Pentas 2007' anjuran Dewan bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak. Bagaimanapun skrip ini tidak berjaya saya siapkan untuk dihantar menyertai pertandingan tersebut.



BABAK INTRO I

MUZIK LATAR: Petikan gitar instrumental lagu lagu puisi 'Alhamdulillah, Innalillah' gubahan penulis skrip.

Muzik latar bermula. Perlahan-lahan spotlight diterangkan. Lampu hanya menyoroti watak utama (hero); yang duduk di atas lantai pentas. Hero memegang sebuah gitar, di depannya beberapa helai kertas kosong dan pena juga sebiji gelas minuman.

HERO: Sekejap memetik gitar (hilangkan bunyi petikan gitar daripada didengari audiens). Sekejap dia menulis.

Selepas dua minit, muzik latar fade-out dan lampu beransur-ansur suram hingga padam.

TAMAT BABAK INTRO I.

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

BABAK INTRO II

MUZIK LATAR: Nur Tasbihat- Nazri Johani feat. Dak Mie.

Muzik latar bermula agak nyaring. Pelahan-lahan lampu menerangi watak HEROIN. HEROIN dalam pakaian telekung, duduk bersimpuh di atas sejadah, memegang biji tasbih, dan di depannya sebuah mushaf Al-Quran (tertutup) di atas rehal. Bersamaan lampu perlahan-lahan terang, muzik latar diperlahankan (masih kedengaran tapi suara monolog HEROIN lebih kuat dari bunyi muzik latar).

Semasa bermonolog HEROIN tunduk melihat sejadah sambil tangannya menghitung biji tasbih. Bertafakur  dan bermunajat ke hadrat Allah.

Maha Suci Allah.
Segala Puji Bagi Allah.
Tiada Tuhan Selain Allah.
Allah Maha Besar.

Siapakah yang menjadikan manusia Adam dari segumpal tanah dan menciptakan pasangannya Hawa dari sebilah tulang rusuk Adam yang sebelah kiri, dan dari mereka berdua berkembang biak zuriat keturunan mereka melalui titisan air kotor yang dipanggil nuthfah. Maka jadilah manusia khalifah di bumi Allah zaman berzaman yang membawa bersama perkembangan muzik, nyanyian dan hiburan. Muzik, nyanyian dan hiburan itu naluri manusia. Tidak dapat dipisahkan dari manusia.

Allah, Tuhan Yang Memiliki dan Menguasai Semuanya, segala-galanya.

Maha Suci Allah.
Segala Puji Bagi Allah.
Tiada Tuhan Selain Allah.
Allah Maha Besar.

Siapakah yang menciptakan kata-kata dan bunyi?
Allah.

Siapakah yang mengurniakan bakat dan ilham?
Allah.

Siapakah yang menjadikan hati dan perasaan tersentuh dan terpengaruh oleh kata-kata dan bunyi-bunyian?
Allah.

Allah, Yang Maha Pencipta.
Allah, Yang Mengajar manusia dan makhluk-Nya berbicara.
Allah, Yang Menciptakan bunyi dan memberikan suara kepada manusia dan mahkluk ciptaan-Nya yang dikehendaki-Nya.

Maha Suci Allah.
Segala Puji Bagi Allah.
Tiada Tuhan Selain Allah.
Allah Maha Besar.

Bukankah Allah membekalkan menusia dengan pelbagai perasaan?

Ada suka duka, ada marah gelisah, ada rindu harapan, ada kasih sayang cinta, ada takut hampa kecewa, ada kagum bangga, ada semangat kemahuan, dan ada sunyi kosong dan bosan.

Bukankah perasaan itu semua mudah dipengaruh dan dibawa oleh kata-kata dan bunyi-bunyian?
Bukankah muzik itu ialah kata-kata dan bunyi-bunyian?
Bukankah muzik itu mampu menyiram hati dengan ketenangan?
Bukankah muzik itu mampu membangkitkan pelbagai perasaan?
Bukankah muzik itu mampu mempengaruhi akal dan perasaan?
Bukankah muzik itu mampu membuat anggota bergerak bertindak?

Bukankah kita sepatutnya ingat, selalu ingat bahawa
muzik dan lagu itu berasal daripada kata-kata dan bunyi-bunyian.

Bukankah kita sepatutnya ingat, selalu ingat bahawa
Allah, Yang Menciptakan bunyi dan memberikan suara kepada manusia dan mahkluk ciptaan-Nya yang dikehendaki-Nya.

Bukankah kita sepatutnya ingat, selalu ingat bahawa
Allah, Yang Mengajar manusia dan makhluk-Nya berbicara.

Bukankah kita sepatutnya ingat, selalu ingat bahawa
Allah, Yang Maha Pencipta.

Bukankah muzik dan lagu itu dari Allah
dan sepatutnya membawa kita kepada melakukan suruhan Allah
dan sepatutnya membawa kita kepada menjauhi serta meninggalkan larangan Allah.

Bersujud mukaku kepada Yang Menciptakannya dan Membentuknya serta membukakan bagiku pendengaran dan penglihatan dengan daya upaya dan kekuasaanNya. Maha Berkat Allah, Dialah sebaik-baik Pencipta di kalangan segala yang menciptakan.



Ramai bertelagah dan bercanggah pendapat tentang hukum hakam berkenaan muzik dan hiburan. Dalam drama ini saya bercadang hendak mengangkat tema dan persoalan berkaitan muzik, hiburan dan kesenian Islam. Saya sendiri penggemar dan peminat muzik dan hiburan.

Sekiranya muzik dan hiburan itu boleh merosakkan dan melalaikan, kenapa tidak muzik dan hiburan juga boleh memperbaiki, menginsafkan, mendidik dan mendakwah? Pasti boleh, Insya Allah. Ramai golongan pendakwah yang sudah membuktikannya. Salah seorang mereka ialah Sunan Bonang melalui lagu puisi Tombo Ati beliau. (Saya ada menulis tentang Tombo Ati, Klik Sini untuk membacanya)


 ... seindah perhiasan adalah wanita solehah..

21/11/2009


  Alhamdulillah, Innalillah






Photobucket


Waktu cuti begini, mulalah menyelongkar khazanah-khazanah lama. Dan terjumpalah sebuah lagu puisi yang saya tulis dalam tahun 2006. Lagu ini saya beri judul 'Alhamdulillah, Innalillah'. Betapa lagu ini (Alhamdulillah-Innalillah ) boleh memujuk dan memberi semangat kepada saya dalam menghadapi waktu yang agak mencabar dan payah dalam kehidupan.

Sepert lirik lagu Alhamdulillah-Innalillah ini, sepatutnya kita menilai dan menerima apapun dalam kehidupan ini dengan reda. Semoga lagu ini boleh mengingatkan diri saya dan semoga saya mampu mengaplikasikannya dalam menjalani kehidupan saya. Syukur Alhamdulillah atas semangat dan idea yang dikurniakan Allah. Semoga berhasil dan baik-baik semuanya, Amin.


Am E
Kekadang DIA memberi kita
Dm Am E
Tak sempat tangan menadah meminta
Am E
Kerana DIA Maha Mengerti
Dm Am E
Segala keperluan para hambaNYA

Dm
Diberi kita
G
Kebahagiaan
C
Kenikmatan
Am
Kesenangan
Dm G
Melebar jalan menuju syurga
C Am
Buat hamba yang mensyukuri
FE
pemberianNYA
F G
Maha Pengurnia


Am E
Kekadang DIA memberi kita
Dm Am E
Yang kita tak sanggup merasakannya
Am E
Kerana DIA ingin memilih
Dm Am E
Hamba yang layak untuk dikasihiNYA

Dm
Dibiar kita
G
Kesedihan
C
Kesakitan
Am
Kesusahan

Dm G
Melebar jalan menuju syurga
C Am
Buat hamba yang menghadapi
FE
Dengan sabar
F G
MusibahNYA Yang Maha Kuasa

C G Am
Tuhanku Maha Memberi
C G Am
Tuhanku Maha Menguji

Am E
Alhamdulillah…
F G
syukur Ya Allah

Am E
Innalillah…
F G
anta rabb Ya Allah



20/11/2009

Harta Yang Dibawa Mati


  Harta Yang Dibawa Mati



(Gambar di bawah ini diedit hanya dengan menggunakan MS Word dan Paint.
Insya Allah, ada masa saya akan siarkan tutorialnya di blog ini)


Photobucket


Photobucket


“Apabila mati seorang manusia maka terputuslah amalannya melainkan tiga perkara:
Sedekah jariah ataupun ilmu yang bermanfaat atau anak yang soleh yang mendoakannya”
(Hadith Shahih Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hidup adalah sebuah perjalanan menuju mati; tidak ada sesiapa yang dapat membantah kata-kata ini. Semua orang sedia maklum bahawa kehidupan ini akan berakhir dengan kematian. Semua orang sedar bahawa mereka pasti akan merasai kematian. Semua orang mengakui mereka boleh berusaha untuk hidup sihat dan lama, namun tidak ada seorangpun manusia yang dapat membantah atau melawan kematian.

Islam dalam mengaturkan kehidupan dan hala tuju hidup seseorang tidak pernah mengajarkan manusia hanya memandang kepada kehidupan dunia dan melupakan kehidupan akhirat; sedangkan kehidupan akhirat adalah kehidupan yang sebenarnya. Begitu juga Islam tidak pernah mengajarkan manusia untuk hanya melihat kepada kehidupan akhirat sehaja dengan melupakan kehidupan dunia; sedangkan kehidupan dunia ini ialah tempoh ujian yang perlu dilalui oleh manusia untuk kehidupan akhirat.

Islam sebagai agama yang adil, sedia maklum bahawa umur setiap manusia tidak sama. Ada yang diberi kesempatan yang lama hidup di dunia ini, ada yang hanya diberi umur yang sekejap. Oleh itu, Islam mengajarkan kepada manusia agar mengambil perhatian kepada pelaburan akhirat yang perlu dibuat di dunia ini. Antara lain, Islam mengajak manusia memerhatikan amalan-amalan dan ibadat yang berkekalan hitungannya hingga ke hari kiamat sekalipun seseorang itu sudah meninggalkan dunia yang fana ini.

Islam mengajar kepada umatnya untuk menerima harta kekayaan, ilmu dan zuriat sebagai amanah bukan sebagai milik mutlak. Semua orang suka dan mahu kepada kekayaan, ilmu dan zuriat kerana tiga perkara ini memberi kesenangan dan kelazatan dalam hidup.

Islam sebagai agama untuk manusia daripada Tuhan yang menciptakan manusia; Islam adalah sebuah agama yang tidak melawan fitrah semulajadi manusia. Manusia cinta kepada kekayaan, ilmu dan zuriat sehingga mereka takut mati kerana belum berasa puas untuk menikmati ketiga-tiganya. Bagaimanapun manusia tetap akur bahawa mereka tidak akan hidup selama-lamanya. Satu masa, ketiga-tiga nikmat itu akan berakhir.

Namun, daripada lidah Rasulullah (SAW) menyampaikan khabar gembira kepada umat Islam bahawa mereka masih boleh menikmati ketiga-tiga nikmat yang mereka cintai itu seperti yang disebutkan dalam hadith yang kita pelajari kali ini.

Kekayaan, ilmu dan anak adalah nikmat Allah yang berupa amanah yang dipinjamkan kepada sesiapa yang dikehendaki-NYA. Semua manusia wajib berusaha untuk meraih wang ringgit, harta, ilmu dan anak; namun jangan lupa bahawa segalanya itu harus digunakan seperti dihendaki Allah sebagai lambang bersyukur kepada Allah yang telah memilih kita untuk memiliki semua itu.

Lebih dari itu, atas kasih sayang Allah; wang ringgit, harta benda, ilmu dan anak yang diamanahkan kepada kita, sekiranya digunakan dengan betul dan tepat seperti yang dikehendaki Allah (SWT), nikmatnya akan kita perolehi dalam jangka masa yang panjang sehingga ke hari akhir sekalipun kita sudah meninggal dunia.

Jika mahu kekayaan, ilmu dan zuriat keturunan masih dirasai nikmatnya sesudah mati, pergunakanlah segala nikmat itu dengan cara yang betul dan tepat. Anggaplah ia sebagai amanah yang mesti dijaga, ingatlah untuk bersyukur dan perbanyakkan memberi dan berkongsi nikmat yang diperolehi dengan sesama manusia…

Insya Allah.. ketiga-tiga nikmat itu akan tetap dinikmati sesudah mati. Wallahu’alam.

ADA 3 MILIK MANUSIA
YANG BOLEH DIBAWA MATI

1. Harta yang halal yang disedekahkan, diwakafkan dan digunakan untuk kebaikan.

2. Anak yang didik dengan baik sehingga menjadi anak yang soleh dan solehah.

3. Ilmu yang bermanfaat yang diajarkan kepada orang lain dan orang itu juga memperoleh manfaat daripada ilmu tersebut.




19/11/2009

Bermula Sebuah Pengembaraan Waktu Cuti Sekolah


  Bermulalah Sebuah Pengembaraan
Waktu Cuti Sekolah



Photobucket


Indah. Satu hari yang cukup indah. Satu hari pada bulan November yang cerah. Matahari memancarkan sinarnya menerangi langit yang membiru, saujana mata memandang. Awan nipis bergantungan menambahkan lagi indahnya pemandangan langit waktu pagi. Alhamdulillah, syukur Allah memberi satu hari lagi untuk menikmati kehidupan di bumi yang aman, makmur dan indah ini. Sejak awal pagi, sudah dapat dirasakan keindahan hari ini. Indahnya panorama alam semakin jelas sebaik waktu dhuha bermula.

Keindahan ini berterusan ke waktu zuhur. Walaupun matahari memancarkan sinar yang terik dan cuaca yang panas, angin bertiup dengan agak kuat dan sangat menyamankan. Jalan raya pula agak lengang. Di mana-mana, kanak-kanak berwajah riang. Di kebanyakkan sekolah, musim cuti sudah bermula cuma masih ada beberapa buah sekolah yang mula bercuti esok dan lusa. Sehingga ke waktu asar, hari masih cerah dan indah. Mood santai menambah nikmatnya waktu asar petang ini.

Jarang 'mendapat' hari yang cerah dan indah seperti hari ini pada bulan 'hujan' November begini. Saya sempat melihat laut petang tadi. Ombak bergulung-gulung tinggi, deras dan menggerunkan. Jika anda tidak pernah menongkah ombak dengan angin yang agak kuat, mungkin sukar untuk anda menghayati apa yang saya rasakan.

Ketika ke surau pada waktu magrib, tompok-tompok awan di langit semakin besar. Seperti gumpalan kapas gergasi. Jika gumpalan awan itu diwarnakan merah, biru, kuning dan hijau, pasti ia kelihatan seperti gula-gula kapas:-) Gula-gula kapas menjadi antara memori saya. Bukan saja memori zaman kanak-kanak riang yang menggemari gula-gula kapas, malah gula-gula kapas pernah menjadi antara sumber rezeki saya suatu masa dulu. Namun, satu perkara yang saya perasan, rasa gula-gula kapas kini agak berbeza dari gula-gula kapas sewaktu zaman kanak-kanak saya dolu-dolu.

Sehingga ke malam, keindahan hari ini terus dapat dirasakan. Surau dan masjid kelihatan ceria dan meriah. 'Lampu-lampu raya' yang menghiasi masjid dan surau dinyalakan. Maka berwarna-warnilah panorama antara waktu maghrib dan isyak di semua masjid dan surau. Di surau At-Taqwa dalam kawasan kediaman saya, malam Jumaat begini penyaman udara dihidupkan. Teringat lagi memori silam. Malam Jumaat begini ada nostalgia yang tidak akan saya lupakan. Namun, sama seperti kisah gula-gula kapas tadi, semakin saya dewasa, semakin terasa perbezaan kemeriahan dan nostalgiknya malam Jumaat ini.

Dengan bermulanya cuti sekolah, maka bermulalah siri 'pengembaraan' baru dalam hidup saya. Banyak yang saya rancangkan dalam 'pengembaraan' kali ini. Banyak destinasi perlu dituju dengan jayanya sebelum ke destinasi seterusnya. Dengan namanya 'pengembaraan'; tentulah ia akan diisi dengan cabaran, rintangan, suka dan duka. Namun, apa yang pasti, 'pengembaraan' adalah sesuatu yang memberi nikmat dan kepuasan. Semoga, selepas berjaya menyempurnakan misi 'pengembaraan' ini, kehidupan yang lebih baik menunggu saya di tahun depan, amin.

Buku pertama yang saya baca buat menemani 'pengembaraan' kali ini ialah buku David Goh berjudul 'Step into The Future With Nothing'. Buku lama yang diterbitkan pada tahun 1993. Inilah kali pertama saya mengenali David Goh dan membaca buku beliau. Buku ini saya pinjam dari Perpustakaan Awam BDA Bintulu. Saya memang meminati buku yang berkulitkan warna merah:-)

Selain itu, dalam 'pengembaraan' ini, saya akan mengulang baca buku 'The Secret of Ebay Millionaires' oleh Benjamin Marc Wee dan Stuart Tan. Mengulang baca dan akan mencuba untuk mempraktikkan dan menyiapkan segala tugasan dalam buku tersebut. Jika anda ingin menceburi bidang keusahawanan online teristimewa bidang lelongan online, buku ini adalah antara senarai wajib baca bagi anda.

Anda faham 'pengembaraan' yang saya maksudkan? Secara mudahnya, ia 'pengembaraan' kehidupan. Saya tidak mahu mensia-siakan cuti sekolah yang agak panjang ini, kerana itu saya menyusun misi 'pengembaraan' ini sejak bulan Oktober lalu. Doakan saya ya:-)


Beberapa petikan yang menarik
dalam buku David Goh:


"This book is specially dedicated to those with the will and determination to go forward in spite of not having paper qualifications"
.........
"I really think you are special, uniqe and you can be a lot better than what you are at this moment"
.............
"In any situation, make do with what you have. Stay with it for a while, until things improve"
...........
"There are many chapters in one's life. When one is over a new chapter begins to prevail"
........
"When you start to change the world, changes with you all the way"
......

18/11/2009

Bermulalah Seperti Bayi


  Bermulalah Seperti Bayi






Mengimbas kembali tempoh kehidupan yang telah saya lalui, saya senang mengakui saya belum berjaya.  Masih banyak lopak-lopak kekurangan, kesilapan, kesalahan dan kegagalan di sana-sini sepanjang jalan kehidupan saya. Saya memiliki banyak memori yang membuatkan saya malu, sedih dan kecewa jika saya terkenang dan teringat tentangnya. Alangkah indahnya, jika saya memiliki 'pensieve' macam milik Prof. Dumbledore dalam Harry Potter itu:-)

Dalam melihat kegagalan, kerapkali saya gagal kerana tidak yakin untuk bermula. Tidak kurang juga disebabkan oleh sikap yang bertangguh-tangguh untuk bermula. Banyak  kali juga saya gagal sebelum bermula. Sikap-sikap yang disebutkan itu berpunca daripada banyak faktor; salah satu faktornya ialah 'tidak mengetahui dan melakukan kaedah bermula yang betul'.

Hari ini saya ingin berkongsi dengan anda tentang bagaimana untuk memulakan sesuatu dan cara betul untuk memulakan sesuatu usaha. Kaedah ini saya baca dari buku "Buat duit Cara Mudah sebagai Penulis Bebas" karya Zamri Mohamad. Dalam buku tersebut, Zamri ada menuliskan "Kaedah Bermula Seperti Bayi" yang dicipta oleh Jack Rawlins.


"KAEDAH BERMULA SEPERTI BAYI"

1. Bayi memerlukan masa untuk belajar.
2. Bayi sentiasa berlatih.
3. Bayi sentiasa belajar tanpa ada rasa jemu.
4. Bayi dikelilingi ibu dan ayah sebagai modelnya.
5. Bayi sentiasa menginginkan sesuatu.
6. Ibu bapa tahu seorang bayi akan belajar.
7. Bayi sering gembira apabila dikelilingi orang yang disukainya.
8. Bayi tidak akan belajar dalam paksaan emosi.
9. Bayi banyak belajar dari dirinya sendiri.
10. Bayi belajar berkenaan sesuatu tetapi tidak mengetahui dia sudah memilikinya.
11. Bayi akan cuba belajar setiap perkara dalam satu masa yang sama.


Dalam mengusahakan sesuatu, saya telah mendapat pengalaman supaya tidak boleh menunggu benar-benar cukup dan sempurna baru hendak bermula. Kecukupan dan kesempurnaan bukan syarat, ia adalah sebuah proses. Semua  yang berjaya, bermula dari belajar dan mencuba. Bermulalah seperti bayi; kita tidak akan  ke mana-mana  jika takut untuk bermula dan masih menunggu kesempurnaan.



17/11/2009

TOMBO ATI: 5 Cara Merawat dan Menyihatkan Hati (Bahagian 2-Akhir)


TOMBO ATI:

5 Cara Merawat dan Menyihatkan Hati
(Bahagian 2-Akhir)



(Klik Sini untuk membaca Bahagian 1 post ini)




Photobucket

Jagalah Hati (Emosi), Jangan Dikotori


Hati yang tidak dapat dilihat ialah jiwa, perasaan dan emosi. Hati jenis kedua ini  perlu dijaga kesihatannya kerana hati jenis ini yang menentukan peribadi seseorang. Orang yang hatinya bersih, baik dan sihat adalah orang yang baik dan unggul peribadinya. Begitu sebaliknya.

Lebih daripada itu, kesihatan organ bernama hati (liver) berkait-rapat dengan kesihatan hati abstrak (jiwa, perasaan dan emosi). Orang yang hidup tenang memiliki organ hati yang sihat dan boleh berfungsi dengan baik. Malah dalam keadaan begini, hati boleh menjalankan fungsi dan aktivitinya dengan baik dan lancar. Tekanan perasaan, stress, gaya hidup yang tidak seimbang dan perasaan-perasaan negatif seperti irihati, dendam, cemburu, tamak, buruk sangka dan sebagainya, boleh mengganggu fungsi organ hati. Dalam keadaaan seperti ini, tahap  bioenergi dalam tubuh akan menurun secara drastik dan liver (hati) tidak mampu berfungsi secara efektif.


Dalam hal ini, Imam Al-Ghazali (rahimahullah) membahagikan hati kepada tiga tahap;

1.    Qalbun Sahih (hati yang sihat)
2.    Qalbun Maridh (hati yang sakit)
3.    Qalbun Mayyit (hati yang mati)



Dalam soal menjaga kesihatan hati yang abstrak ini, syair oleh Imam Nawawi dan Sunan Bonang yang terdapat di Bahagian 1 post ini dapat dijadikan panduan. Mengikut Imam Nawawi dan Sunang Bonang, kesihatan hati boleh dijaga dengan;

1.    Membaca dan memahami Al-Quran.
2.    Mendirikan solat malam.
3.    Berpuasa.
4.    Berkumpul dengan orang soleh.
5.    Berzikir pada waktu malam.

Lima perkara tersebut, jika dapat diamalkan oleh kita, Insya Allah boleh meletakkan hati kita pada tahap hati yang pertama iaitu Qalbun Sahih (hati yang sihat), iaitu hati yang tenang, bersih dan penuh dengan sifat-sifat mahmudah seperti syukur, reda, sabar, pemaaf dan lain sebagainya.


KESIMPULAN

Selain itu, tombo ati  ini juga telah dibuktikan oleh pakar sains dan kesihatan sebagai boleh memberi kesan yang baik kepada hati (liver) dan tubuh badan. Orang yang membaca Al-Quran dengan pemahaman dan penghayatan boleh menghadapi cabaran kehidupan ini dengan tenang. Buktinya ramai di kalangan selebriti barat yang mendapat hidayah kerana ketenangan hidup yang mereka cari-cari, telah mereka temui semasa membaca terjemahan Al-Quran. Cat Steaven (Yusuf Islam) sebagai contoh.

Solat telah diakui oleh ramai pakar-pakar perubatan beragama Islam mahupun bukan Islam yang membuktikan keajaiban, kepentingan dan kebaikan solat terhadap manusia. Antaranya ialah penemuan Dr Moh Sholeh; seorang doktor perubatan di Indonesia yang mendapati solat sunat tahajjud boleh merawat barah.  Penemuan tiga orang doktor di Jepun pula mendapati solat dapat mencegah dan merawat sakit sendi dan tulang pada umur tua.

Terbaru ialah hasil ujikaji oleh Ng Siew Chok (Universiti Malaya) mendapati keadaan fizikal dan mental selepas seseorang mendirikan solat berada dalam keadaan segar dan tenang seperti baru bangun dari tidur yang cukup. Siew Chok merumuskan solat boleh menjadi sesi refreshment untuk seseorang sebelum meneruskan rutin kehidupan yang memerlukan banyak tenaga baik fizikal dan kekuatan mental dalam mengharungi cabaran dan masalah hidup.

Gelombang otak jenis Alfa(813hz) merupakan keadaan tenang. Siew Chok mendapati, semasa I’tidal (berdiri selepas solat sebelum sujud dengan thoma’ninah); isyarat Alfa daripada gelombang otak orang yang bersolat meningkat dengan mendadak. Peningkatan mendadak isyarat Alfa membuktikan otak sangat tenang pada ketika itu. Beliau merumuskan semasa I’tidal dengan thoma’ninah adalah masa yang paling tenang dalam solat.

Dr. Barki dari Vivari Healing, Bandung, medapati tubuh manusia mempunyai kekuatan penyembuhan sendiri jika kita menjaganya dengan baik. Antara cara menjaga tubuh ialah dengan berpuasa. Dr Barki mengakui, puasa memberi waktu rehat kepada organ-organ yang terlibat dalam fungsi detoksifikasi seperti hati, usus besar, ginjal, paru-paru, dan kulit. Dengan puasa, sel-sel tubuh lebih mampu melakukan metabolisme zat-zat di dalam tubuh.

Subhanallah, sesungguhnya benarlah Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad (SAW) ini adalah agama yang benar dari Tuhan Yang Menciptakan manusia.  Marilah kita sama mengucapkan zikir ini; “Kami reda Allah sebagai Tuhan kami, Muhammad sebagai Nabi kami dan Islam sebagai agama kami”.

Wallahu’Alam.

16/11/2009

3 Jalan Sabar Seorang Usahawan Muslim (Bahagian 3-Akhir)

Sabar Ketiga Usahawan Muslim:
Sabar Dalam Menerima Hasil


(Ini adalah bahagian terakhir daripada 3 Bahagian post ini. Untuk membaca Bahagian 1 post ini, Sila Klik Sini. Untuk membaca Bahagian 2 post ini, Sila Klik Sini)

Sebagai seorang usahawan muslim kita sepatutnya bersabar dalam menerima hasil; iaitu bersyukur dengan hasil yang dikurniakan Allah terhadap apa yang kita usahakan dan lakukan. Kita tidak boleh lupa semua itu adalah kurniaan Allah. Malah sepatutnya sebagai seorang Islam, kejayaan semakin menambahkan semangat kita untuk berusaha lebih lagi. Seorang usahawan yang  tidak sabar, jika diberi Allah kejayaan, kebahagian dan kekayaan, boleh saja semua itu merosakkan kehidupannya. Usahawan yang tidak sabar mungkin akan berhenti berusaha setelah mendapat  kejayaan.  Juga, usahawan yang tidak sabar terdedah kepada sifat tamak. Sifat tamak boleh merosakkan usahawan sama ada dalam masa yang cepat atau lambat.

Dalam kehidupan di dunia ini. Adakalanya yang terjadi tidak seperti yang kita harapkan. Walaupun ikhtiar dan usaha kita dengan niat yang tepat dan murni. Sungguh-sungguh kita ikhlas dalam apa yang kita lakukan. Kita juga telah melakukan yang terbaik. Tiada apa yang kurang dalam usaha kita, tiada sala silapnya juga tiada cacat celanya. Namun, tidak mustahil hasilnya bukan kejayaan dan kebahagian, tetapi kegagalan dan kekecewaan.

Di sini kesabaran sebenar kita diuji. Orang yang ikhlas dapat menerima hasil dengan sabar. Tidak beroleh kejayaan di dunia kita harus bersangka baik kepada Allah, mungkin kejayaan itu ditangguh Allah ke akhirat. Tidak bahagia di dunia, kita harus percaya bahagia itu disimpan Allah untuk akhirat. Inilah sabar yang hakiki. Sabar menerima hasil. Kita wajib percaya Allah itu Tuhan Yang Maha Adil dan Maha Melihat apa yang dilakukannya.  Tidak semestinya kejayaan dan kebahagiaan itu pada hasil. Kejayaan dan kebahagiaan hakiki ialah semasa bersabar dalam meluruskan niat dan bersabar dalam menyempurnakan ikhtiar.


10 KEPENTINGAN SIFAT SABAR

1.    Sabar menjadi sebab memiliki kemuliaan.
2.    Sabar kunci kemenangan dan kejayaan di dunia dan akhirat.
3.    Sabar adalah Islam dan Iman.
4.    Pahala dan syurga ganjaran untuk orang yang sabar.
5.    Sabar tanda kuat.
6.    Sabar lambang syukur.
7.    Sabar pembuka hikmah.
8.    Sabar penyelesai masalah.
9.    Sabar kunci kebahagiaan.
10.  Sabar makanan jiwa.



KESIMPULAN

Pentingnya kita mendidik diri sendiri dengan sifat sabar. Sesungguhnya usaha mendidik diri sendiri itu tidak ada penghujungnya sehinggalah nyawa berpisah dari badan. Dalam menghadapi cabaran dunia keusahawanan sehari-hari, setiap masa kesabaran kita diuji. Beruntunglah orang yang menyedarinya dan berjaya bersabar dalam menghadapinya. Kesabaran itu bukan hanya diuji oleh kesusahan dan musibah, malah sabar yang berat itu ialah untuk bersabar dalam nikmat dan kemudahan. Perhatikan, sedikit mudah bersabar menahan lapar ketika tidak memiliki wang tetapi amat sukar dan payah untuk bersabar menahan diri daripada berlebihan dan membazir ketika memiliki banyak wang.

RUJUKAN


1.    Aa Gym (Kiai Abdullah Gymnastiar), Rakaman Ceramah- Indahnya Kesabaran, Bandung, Indonesia, Koleksi Peribadi.

2.    Majalah-I, BIL. 76/ Februari 2009, HAKIKAT SABAR, Koleksi Peribadi.

15/11/2009

Seronok, Gembira dan Terharu (dan lega..)

Seronok, Gembira dan Terharu (dan lega..)




Photobucket



Alhamdulillah, pagi tadi kami di Madrasah Al-Islamiyyah Darul Ulum (MADU), Cawangan Kampung Jepak; telah menjayakan program Khatamal Al-Quran serta Penyampaian Sijil dan Hadiah. Membuat persediaan dan persiapan untuk program ini adalah menyeronokkan. Tambahan pula, sejak Jumaat ramai ibubapa yang sama-sama membantu. Saya memang seronok bergaul dengan ibubapa dan berseronok dengan 'anak-anak' MADU sambil melatih mereka.

Ini adalah hari bahagia bagi kami warga MADU. Susah untuk diterangkan kebahagiaan itu:-) Namun, ini jugalah hari yang mengundang rasa terharu; terharu dengan sumbangan ibubapa pelajar, terharu melihat kegembiraan mereka dan yang agak menyedihkan ialah, ini bermakna saya akan berpisah dengan anak-anak yang sudah mengkhatamkan Al-Quran tadi.



Photobucket



Pagi tadi, kerana saya agak sibuk, maka saya gunakan saja laptop saya untuk merakam video program itu dengan menggunakan Cyberlink YouCam. Tak perlu menyusahkan orang untuk mengambil video dan gambar bagi saya jika saya gunakan kamera. Saya letakkan saja laptop di atas meja berdekatan pentas majlis. Dan ia dengan sendirinya merakam peristiwa pagi tadi:-)

Untuk mendapatkan gambar-gambar dari video yang dirakam saya menggunakan Free Studio untuk extract video-video tersebut kepada gambar JPG. Inilah folder-folder gambar-gambar yang diextract daripada video yang dirakam.



Photobucket




Walaupun boleh dikatakan semua pelajar dan ibubapa ada mengambil gambar masing-masing sama ada menggunakan kamera digital atau telefon bimbit, saya usahakan juga meng'extract' video yang dirakam pagi tadi; kerana saya tahu esok pasti anak-anak akan meminta untuk melihat video dan gambar yang saya ambil.

Semasa menaip ini, saya memang sudah agak mengantuk. Ditambah lagi, hujan turun di luar sana. Sedang menaip baris ini, saya menguap beberapa kali:-) Ingat lepas publish post ini, nak tidur terus.. Tapi, tengah menunggu video yang sedang diupload ke YouTube. Lembab pula YouTube malam ini.. mungkin kerana hujan ia pun mengantuk seperti saya:-)




Photobucket




Bila sudah hampir berpisah dengan anak-anak itu, terasa pula semakin sayang dan belum puas mengajar dan membimbing mereka. Melihat wajah bahagia ibubapa mereka pagi tadi, terasa pula seperti diri ini belum memberikan kepada anak-anak itu seperti yang diharapkan.

Ps; Selepas maghrib tadi, sempat juga saya mengedit penampilan blog ini. Menggunakan warna utama putih, merah dan biru, saya sudah agak lega kerana paparan blog ini sudah hampir memuaskan saya. Tinggal lagi beberapa perkara yang perlu ditambah di bahagian sidebar blog.

Alhamdulillah, syukur atas segalanya...
keseronokan dan kebahagian yang sukar diterangkan..



14/11/2009

TOMBO ATI: 5 Cara Merawat dan Menyihatkan Hati

TOMBO ATI: 5 Cara Merawat dan Menyihatkan Hati




Photobucket




Imam Nawawi dalam salah sebuah karyanya- Kitab At-Tibyaan,  ada memuatkan bait-bait puisi seperti di bawah:
  • Khamsun hunna dawaul qalb (Ada lima perkara yang menjadi penawar hati)
  • Qiraaatul quran (Membaca Quran)
  • Wa qiyamul lail (dan melakukan sholat malam)
  • Wa majaalisatus shalihien (dan berkumpul dengan orang yang baik)
  • Wa ikhlaaul baathin (dan berpuasa)
  • Wa tadharruindas shabaah (dan berdzikir menjelang subuh)
Melalui puisi di atas, seorang ulamak bernama Raden Maulana Makdum Ibrahim, yang lebih dikenali sebagai Sunan Bonang salah seorang daripada lagenda Wali Songo, menggubah sebuah lagu rakyat yang dikenali sebagai Tombo Ati. Berikut adalah bait-bait lagu Tombo Ati yang masih terus popular sehingga kini terutama di madrasah-madrasah dan dayah-dayah (pondok) sekitar kepulauan Jawa.
"Tombo ati iku limo perkarane (Ubat hati itu lima perkaranya)
Kaping pisan moco Qur'an lan maknane (Yang pertama baca Quran dan maknanya)
Kaping pindho sholat wengi lakonono (Yang kedua solat malam dirikanlah)
Kaping telu wong rang sholeh kumpulono (Yang ketiga berkumpullah dengan orang soleh)
Kaping papat kudu weteng ingkang luwe (Yang keempat perbanyakkan berpuasa)
Kaping limo dzikir wengi ingkang suwe (Yang kelima zikir malam panjangkanlah)
Salah sawijine sopo biso ngelakoni (Salah satunya siapa dapat melakukan)
Muki-muki Gusti Allah nyembatani(Moga-moga Allah Taala menyayangi)"
[Puisi Tombo Ati oleh Sunang Bonang]
Di bawah ini pula ialah lagu yang dinyanyikan oleh Opick, menggunakan puisi  Tombo Ati. Dikisahkan, beginilah bunyi puisi Tombo Ati dinyanyikan oleh Sunang Bonang sehingga Tombo Ati menjadi lagu rakyat. Dalam bahasa Jawa, Tombo bermaksud penawar; Ati bermaksud hati.








“Dalam setiap tubuh itu ada seketul daging.  Sekiranya ia baik, baiklah seluruh tubuh itu.
Dan sekiranya ia tidak baik, maka tidak baiklah seluruh tubuh itu. Ketahuilah, itulah hati”.
Begitu pesan Nabi (SAW) dalam sebuah hadith yang agak panjang ketika Baginda memberi nasihat kepada para sahabat tentang perkara yang halal, haram dan subhah. Di hujung nasihat tersebut Baginda menyebutkan tentang seketul daging bernama hati.

Hati manusia itu ada dua jenis. Satu, hati yang boleh dilihat iaitu satu organ dalam badan manusia yang dikenali dalam istilah sains dan perubatan sebagai ‘liver’. Satu lagi ialah hati yang tidak nampak iaitu yang dipanggil perasaan, jiwa dan emosi (dalam bahasa arab disebut ‘nafs’). Kedua-dua hati ini perlu dijaga kesihatannya. Ini diakui oleh pakar agama dan pakar kesihatan sekaligus.

Kedua-dua jenis hati mempunyai peranan penting dalam diri seseorang. Organ hati penting kerana ia menentukan kesihatan tubuh badan manusia manakala hati yang abstrak (perasaan, jiwa dan emosi) menentukan keperibadian dan pandangan hidup seseorang. Dalam lain perkataan, organ hati menentukan tahap kesihatan jasad dan hati abstrak menentukan kualiti emosi (EQ).

Di bawah ini pula ialah lagu Tombo Ati yang dipersembahkan oleh band Indonesia yang popular satu masa dulu. Anda kenal siapa? Ingat Ariel? Ingat PeterPan? Inilah dia Tombo Ati oleh PeterPan.











Jagalah Hati (Liver)

Hati (liver) merupakan organ paling besar dan paling berat di dalam tubuh kita, iaitu sekitar 1.3 kg. Hati berada di bahagian atas sebelah kanan abdomen dan di bawah tulang rusuk. Organ hati memainkan peranan yang penting dan besar dalam tubuh kita sesuai dengan saiznya yang besar dan berat itu. Sekurang-kurangnya  lebih daripada 500 fungsi dan aktiviti dilakukan oleh hati.

Hati yang sihat boleh menapis racun dan melakukan proses detoksifikasi dengan optima. Jika hati tidak sihat atau sakit, racun dalam tubuh akan terkumpul dan menyebabkan seseorang terdedah kepada penyakit ringan seperti selsema, pening, mual, sakit kepala dan sembelit. Malah seseorang yang memiliki organ hati yang tidak sihat terdedah kepada risiko penyakit kronik seperti hipertensi, stroke, diabetes, jantung koroner, tumor, kanser, gagal ginjal, perlemakan dan pengerasan liver, kencing manis, darah tinggi, dan penuaan diri.

Hati sebagai organ tubuh perlu dijaga dengan menjaga kesihatan tubuh melalui senaman, rawatan seperti detox dan amalan pemakanan yang sihat. Banyak terdapat di pasaran dewasa ini, produk-produk kesihatan dan makanan tambahan khusus untuk penjagaan kesihatan hati. Selain pada itu, makanan-makanan tertentu seperti kolestrol, lemak dan sebagainya perlu dikawal. Begitu juga gaya hidup yang tidak sihat. Apatah lagi makanan dan minuman yang diharamkan seperti arak dan dadah yang boleh merosakkan hati manusia.

Insya Allah, bersambung... :-)

Ps: Kepenatan juga saya malam ini kerana lepas zuhur sampai la lewat petang tadi ada raptai untuk majlis khatamal Al-Quran anak-anak murid saya pagi esok.

Ps2: Pagi beberapa hari yang lepas saya dah buat draf projek yang hendak di-emelkan kepada Kak MasAyu. Niatnya nak emelkan pagi tadi tapi tak sempat kerana masalah internet. Oh ya, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan "Selamat Ulang Tahun" yang pertama untuk blog Kak MasAyu di http://naufalsayang.blogspot.com. Semoga lebih sukses lagi:-)

Kak Mas ada buat peraduan sempena ulang tahun pertama blog beliau itu. Untuk keterangan lanjut, sila klik di sini



13/11/2009

Anda Pandai Menala Gitar?

Anda Pandai Menala Gitar?

(Sebuah Folder Projek Saya)



Photobucket


Selalu juga saya terfikir untuk menghitung jumlah hari -hari Jumaat yang pernah saya lalui dalam hidup ini, tapi belum juga keinginan itu terpenuhi. Disebabkan hari Jumaat adalah hari feveret saya, kerana itu ada 'Post Khas Hari Jumaat' dalam blog ini. Apapun, syukur kerana saya dapat menemui hari Jumaat lagi. Seperti biasa hari Jumaat adalah indah. Alhamdulillah.

Berdikit-dikit beberapa hari ini saya mengubah rupa blog ini. Alhamdulillah, walaupun belum beres 100%, saya merasakan penampilan baru ini sudah ngam tuning nya:-) Anda faham 'tuning' yang saya maksudkan? Ia berkaitan dengan gitar. Jika anda boleh memetik gitar, saya yakin anda faham 'tuning' yang saya maksudkan.

Anda masih ingat ketika anda mula belajar gitar dulu? Saya masih ingat lagi, saya belajar asas tuning gitar dari buku. Dalam buku tu kata, tali A bunyinya sama dengan fret nombor 5 tali E. Tali D pula, bunyinya sama dengan fret nombor 5 tali A. Begitulah seterusnya. Tidak susah untuk menghafal asas ini, tapi untuk kita berjaya menala gitar adalah mengambil masa. Setelah masa berlalu, dan kita biasa menala gitar, baru lah sedikit demi sedikit 'talaan' yang kita buat tu tepat. (Betul ke word 'talaan' tu?) :-)

Kemudian, setelah lama bermain gitar.. memang kita boleh menala gitar kita dengan tepat. Saya pernah cuba tune gitar saya then semak dengan 'digital tuner' memang tepat:-) Kemudian mula la belajar membuat tuning yang 'pelik-pelik'. Mula-mula belajar buat tuning Drop D, lepas tu tuning apa ke nama nya tu, yang untuk main lagu Blurry tu. Saya pun dah lupa..

Heh, semua tu nostalgia saya. Lama sudah saya tidak memegang gitar. Beberapa hari lepas, saya melihat gambar SOHO baru Dr IK, dengan tiga buah gitar yang bersusun cantek. Ditambah lagi dengan 2 buah post di blog Kak Finaz, yang mengimbau nostalgia dolu-dolu saya; makanya hari ini saya menulis sedikit tentang gitar:-)

TUNGGU DULU...


Sebenarnya, kemahiran menala gitar sangat berkaitan dengan kehidupan kita. Perhatikan, berapa banyak perkara dalam hidup ini yang tidak boleh setakat dipelajari, ia perlu dikuasai. Seperti menala gitar, adalah mudah untuk kita menghafal asasnya, tapi untuk memahirkan diri kita menala gitar, ia perlukan latihan dan masa. Selama mana kita bertahan, kemahiran itu akan kita perolehi. Kita tidak akan terus dapat menala gitar dengan tepat dalam dua tiga hari kita baru belajar.

Begitulah, apapun yang kita usahakan, kita perlukan masa untuk menguasainya. Dalam mendidik diri untuk istiqamah mengerjakan ibadat yang wajib, kita perlu bertahan dan perlukan latihan. Dalam mengubah dan memperbaiki diri juga begitu. Kita mungkin boleh membaca dan mempelajari cara-caranya, namun untuk berjaya melakukannya kita mesti mencuba, berlatih dan berusaha.

Begitu juga dalam kita mendidik (dan mendakwah) orang lain. Seperti menala gitar, kita hanya boleh mengajar dia asas menala seperti yang saya sebutkan di atas tadi, tapi untuk orang yang diajar tu mampu mendapatkan talaan yang betul, ia mengambil masa. Sama seperti untuk mendidik dan mendakwah orang lain. Alangkan susah untuk mendidik diri kita sendiri, susah lagi untuk mendidik orang lain.

Sebenarnya, post ini juga diinspirasikan oleh peristiwa yang berlaku di surau maghrib tadi, yang membuatkan saya sedikit kecewa. Ia berkaitan cara 'orang tua' menegur kanak-kanak. Bagi saya sendiri, bagaimana bising pun anak-anak itu di surau, masih tidak menjadi masalah kerana anak-anak itu masih kecil dan mereka belum mengerti. Yang saya kesahkan ialah golongan dewasa dan lebih ke atas, bergurau dan usik-mengusik malah ketika imam sudah takbiratul ihram. Sedangkan orang yang sama lah yang terlalu emosi dalam menegur 'kenakalan' kanak-kanak di masjid dan surau.

Sekali lagi, jika anda tidak pernah bermain gitar.. susah juga untuk anda memahami 'Post Khas Hari Jumaat' kali ini.. :-)

PS: Seminggu lagi cuti sekolah. Banyak yang saya rancangkan untuk cuti sekolah ini. Antaranya, beberapa hari ini, sempat juga saya merangka sebuah tutorial 'Buat Sendiri Banner Ad'. Di atas adalah gambar folder tutorial tersebut. Gambar di bawah pula ialah 'isi' folder tersebut. Insya-Allah, projek untuk cuti sekolah ini.

(Walaupun sekolah bercuti, tapi kuliah takmir masjid dan surau tidak bercuti pada November dan Disember. Saya sudah bercuti pada Ramadhan dan Syawal yang lalu).



Photobucket


12/11/2009

3 Jalan Sabar Seorang Usahawan Muslim (Bahagian 2)


(Post ini adalah Bahagian 2 dari post bertajuk '3 Jalan Sabar Seorang Usahawan Muslim'. Jika anda belum membaca Bahagian 1 post ini, anda boleh klik di sini untuk membacanya - Seeloknya anda membaca dulu Bahagian 1 sebelum membaca Bahagian 2 ini- Terima Kasih).


Sabar Kedua Usahawan Muslim:
Sabar Dalam Menjalankan Usaha


Jangan terus berbuat sesuatu tanpa merancang. Sabda Baginda Nabi (SAW) ‘kejahatan yang dirancang boleh mengalahkan kebaikan yang tidak dirancang’. Kita juga kerap mendengar ungkapan berbunyi; ‘Kegagalan merancang adalah perancangan untuk gagal’. Pakar perniagaan kerap menekankan kemestian dan kepentingan perancangan dalam perniagaan.


Perancangan banyak membantu usaha kita, antaranya:

1.  Perancangan membantu kita untuk fokus.

2. Perancangan memberi panduan kepada kita bagaimana dan di mana hendak menyalurkan masa, tenaga dan wang ringgit kita.

3. Merancang sesuatu memberi kita gambaran dan persediaan terhadap cabaran dan masalah yang bakal kita depani.

4.   Merancang membantu kita mendapatkan pilihan yang lebih baik.

5.   Merancang memberi kita matlamat dan arah tuju.


Sebelum memulakan sesuatu usaha perniagaan atau ikhtiar rezeki yang lain, sebaiknya buat 'Pelan Tindakan' terlebih dahulu. 'Pelan Tindakan' adalah perkara utama dan merupakan tapak asas kepada usaha kita. Namun, untuk membuat 'Pelan Tindakan' kita perlukan usaha untuk mendapatkan maklumat dan melakukan kajian. Di sini, kesabaran kita diuji lagi. Katakan kita hendak berniaga di portal lelongan online contohnya Lelong.com.my. Pertama, kita perlukan maklumat tentang keusahawanan di portal lelong.com.my. Maklumat paling penting dan utama ialah, kita perlu mencari jawapan kepada soalan berikut: "Apakah keusahawanan di lelong.com.my ini sesuai untuk saya?". Untuk menjawab soalan tersebut, kita perlukan maklumat yang boleh dipercayai tentang lelong.com.my. Jangan sekadar mencari produk informasi yang berkaitan di internet.

Sebelum bermula, lihat dulu dalam diri sendiri. Apakah kita memiliki bahan dan keperluan yang sepatutnya? Cukupkah maklumat, ilmu dan kemahiran yang diperlukan? Modalnya berapa? Masa yang perlu diluangkan untuk satu-satu aktiviti dan usaha perlu diambil kira. Jangan terus melompat ke portal lelong.com.my kerana terpengaruh dengan surat jualan atau produk informasi yang anda beli. Jangan dek kerana mendengar orang lain meraih pendapatan belasan dan puluhan ribu di lelong.com.my maka kita pun ingin menceburinya. Sabar dulu deh:-) Kita manusia tidak pernah sama antara seorang dengan seorang yang lain. Ada jalan yang sesuai untuk seorang, mungkin tidak sesuai untuk kita.

Mengimbas kembali kenangan saya sendiri. Saya sendiri mengambil masa hampir setengah tahun untuk memilih dan membuat keputusan untuk menjadi usahawan lelongan online. Ini kerana, saya telah dapat menjawab soalan asas tadi iaitu; "Adakah bidang ini sesuai untuk saya?". Pastinya, jawapan untuk soalan ini saya perolehi dari kajian, rujukan, bacaaan dan bertanya. Kemudian, saya membeli panduan yang berkaitan dan saya mendapatkan bimbingan seorang mentor untuk memberikan saya tunjuk ajar. Insya Allah, dalam post yang lain saya akan berkongsi tentang ini.

Walaupun menyediakan 'Pelan Tindakan' dan senarai semak nampak leceh dan mengambil masa, kita perlu sabar dan sanggup untuk meluangkan masa bagi merancang apa yang hendak kita lakukan. Perlunya sabar untuk melakukan kajian pasaran, perlunya sabar untuk menilai persaingan dan kemampuan kita untuk menghadapinya, perlunya sabar untuk mengikut 'Pelan Tindakan' yang telah kita rancangkan dan sebagainya.

'Pelan Tindakan'  dan Rancangan Perniagaan yang lengkap, baik dan boleh dikategorikan sebagai gred A sekalipun, boleh menjadi sia-sia, jika kita tidak memiliki kesabaran dalam usaha dan tindakan untuk mematuhi dan merealisasikannya. Ia ibarat kita sedang lapar dan sudah tiba di sebuah restoran yang baik, sudah memesan menu yang bagus, dan makanan sudah terhidang tapi kita tidak mahu mengangkat tangan untuk menyuapkan ia ke mulut kita.

Kerapkali pula, apa yang kita hadapi tidak semudah 'Pelan Tindakan' dan rancangan yang telah disusun. Bersabarlah dan jika perlu, susun semula pelan, rancangan dan strategi kita. Bersabarlah dalam usaha kita dan selalu mengingatkan diri bahawa setiap kesusahan yang kita hadapi dalam usaha kita, Allah memerhatikannya dan di situ kita dinilai dan dihisab. Tiada usaha yang sia-sia selagi kita mampu memurnikan dan meluruskan niat kita. Selalulah mengingatkan diri, bahawa usaha kita bernilai ibadah selagi tujuan akhir kita adalah kepada 5 Tujuan Hidup kita di dunia ini.

Bersabarlah dalam usaha dan ikhtiar kita sebagai seorang Usahawan Muslim. Sabar itu kunci istiqamah. Istiqamah pula memberi kita ‘Kuasa Bertahan’. ‘Kuasa Bertahan’ pula akan membawa kita ke arah kejayaan dan kebahagian. Insya Allah.


KUASA BERTAHAN


“Apabila cara yang kita gunakan sekarang tidak berhasil menyelesaikan masalah itu, kita perlu menukar cara-cara sekarang dengan cara-cara lain. Apabila cara baru itupun masih juga tidak berhasil, jangan menyerah, tetapi tukar lagi dengan cara lain, begitulah seterusnya. Jangan sekali-kali menyerah. Penyerahan pertama mendorong kita melakukan penyerahan kedua dan begitulah seterusnya. Jangan biarkan hati kita berasa jenuh disebabkan jenuh mendorong kita patah semangat, yang segera mendorong kita menyerah.

Tukar dan tukar lagi cara yang kita gunakan bagi memecahkan masalah itu sehingga kita menemui kunci penyelesaiannya, disebabkan kunci masalah itu memang ada, selalu ada, tetapi kita perlu tekun dan tabah mencarinya.”


(Prof. Emiritus Abdullah Hassan dan Puan Ainon Mohd,
buku ‘Mendorong Diri Sendiri’)